Halus permainan KP LPP untuk sabotaj MAT NAFAS ke 45- Mohd Nazri

0
794

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mendakwa Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) cuba mensabotaj Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ke 45 Tahun, 2018 yang dijadualkan pada 19 Mac 2019.

Pengerusinya, Dato Mohd.Nazri Abdullah berkata, ini kerana tarikh MAT NAFAS telah dipilih, ditetap dan diluluskan oleh KP LPP, Haji Hamzah Bahari selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang.

Beliau berkata, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Dato’ Haji Phahrolrazi Mohd. Zawawi telah mengeluarkan notis memanggil MAT NAFAS ke 45 Tahun 2018 pada 19 Februari 2019.

Katanya, notis itu menyatakan MAT NAFAS ke 45 Tahun 2018 akan diadakan pada 19 Mac 2019, jam 8.00 malam di Grand Mesmera Ballroom, Level 1, The Everly Putrajaya, Putrajaya.

Menurutnya, jika dihitung jumlah hari dari tarikh notis MAT pada 19 Februari 2019 sehingga 19 Mac 2019 ialah sebanyak 29 hari.

Sebaliknya kata beliau, jika dikira daripada 20 Februari 2019 iaitu hari berikutannya selepas tarikh notis dikeluarkan bererti jumlah hari ialah hanya 28 hari. Ini kerana bulan Februari hanya mempunyai 28 hari.

“Sedangkan mengikut amalan biasa notis mesyuarat agung ialah selama 30 hari.

“Apa motif sebenarnya Hamzah memberi kelulusan tarikh MAT ke 45 ini dengan jumlah hari yang tidak sampai 30 hari. Adakah beliau mahu mensabotaj MAT NAFAS kali ini secara halus”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, jika tuduhan itu benar bererti sungguh halus permainan Hamzah selaku Pendaftar PP untuk mensabotaj MAT NAFAS yang dipanggil oleh Dato’ Haji Phahrolrazi Mohd. Zawawi.

Mohd. Nazri berkata, semasa majlis perjumpaan bersama Pengerusi NAFAS yang baharu, beliau memaklumkan NAFAS masih menunggu kelulusan tarikh MAT daripada Pendaftar.

Beliau berkata, Hamzah selaku KP LPP dan Pendaftar yang berpengalaman sepatutnya peka dan tahu bahawa notis MAT ialah selama 30 hari.

“Dengan notis yang tidak sampai 30 hari ini, adakah motif Hamzah mahu mensabotaj MAT NAFAS ke 45 ini sehingga menjadikan ia tidak sah?”, tegasnya.

Sementara itu, menurut Mohd.Nazri, jika Peraturan 41(2) (a) Peraturan-Peraturan PP 1983 diguna pakai untuk memanggil MAT NAFAS ke 45 ini, maka notis mesyuarat agung sepatutnya dikeluarkan dan ditandatangani oleh Pendaftar (KP LPP) dan bukannya Dato’ Haji Phahrolrazi Mohd. Zawawi.

Peraturan 41(2) (a) menyebut; ” Jika Pendaftar tidak disampaikan dengan notis berkenaan dengan MAT sehingga hari pertama bulan Mei, Julai, September atau November, mengikut mana yang berkenaan, Pendaftar hendaklah menjalankan kuasa-kuasa seorang Pengerusi Jemaah Pengarah dan hendaklah- (a). Menetapkan suatu tarikh sebagai tarikh MAT bagi unit ahli atau bagi Pertubuhan Peladang tersebut.”

Katanya, dari segi teknikalnya memang berlaku kepincangan dalam notis MAT NAFAS tersebut dan Hamzah perlu betulkan keadaan ini supaya dalam apa keadaan pun MAT NAFAS dapat dibuat mengikut peraturan yang ditetapkan.-pr/BNN