Jawaban penggantungan perlembagaan NAFAS terjawab oleh KP LPP sendiri

0
799
Datuk Sylvester Entri Muran

KUCHING: Motif penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) oleh Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Haji Hamzah Bahari selaku pendaftar kini terjawab, iaitu untuk menempatkan kroni-kroninya di NAFAS khasnya dan LPP amnya.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, selepas penggantungan ditarik balik pada 15 Januari 2019, barulah ahli-ahli peladang sedar dan mengetahui bahawa jawaban kepada motif penggantungan itu akhirnya dijawab sendiri oleh KP LPP seperti dalam video yang telah disebarkan di media sosial baru-baru ini.

Katanya, adalah jelas bahawa motif KP LPP ialah menyusun dan menempatkan kroni-kroninya di NAFAS khasnya dan LPP amnya.

“Mengikut penjelasan dalam klip “video” itu, Hamzah telah pun mengatur beberapa pegawai NAFAS dan LPP untuk dimasukkan dalam pengurusan NAFAS yang baharu termasuk Pengurus Besar yang dipilih oleh beliau sendiri”, katanya dalam kenyataan media, hari ini.

https://youtu.be/g6g6T-wQ2uMJ

Justerukatanya, ahli-ahli peladang ingin bertanya kepada Hamzah, apakah motif beliau berbuat demikian?

“Adakah kita perlu tunggu sekali lagi jawaban kepada motif beliau, kemudiannya selepas pegawai-pegawai yang dipilih olehnya ditempatkan dalam pengurusan NAFAS?

“Akibat daripada tindakannya itu yang kononnya untuk penjenamaan semula NAFAS, telah tersirat di dalam hati ahli-ahli Peladang”, katanya.

Walau bagaimanapun, Sylvester gembira kerana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah mengambil langkah dengan pantas, melantik 6 orang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) baharu bersama 5 orang dalam simpanan NAFAS untuk membentuk AJP NAFAS sepenuhnya.

Katanya, AJP NAFAS yang baharu telah bertindak dengan penuh prihatin kepada keadaan yang telah dirancang oleh Hamzah.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang beliau terima bahawa AJP NAFAS tidak mengambil peduli cadangan Hamzah untuk menempatkan pegawai-pegawai LPP di NAFAS.

“Ini termasuk Pengurus Besar NAFAS dan semua pegawai LPP yang telah ditempatkan di NAFAS telah diarah kembali sertamerta bertugas semula di LPP. Ini adalah suatu tindakan yang terbaik oleh AJP NAFAS untuk menjaga kepentingan NAFAS “, tegasnya.

Sylvester berkata, keputusan mengambil Pengurus Besar (GM) NAFAS yang baharu iaitu Haji Ahmad Shaari, menggantikan pegawai daripada LPP yang pada asalnya ditempatkan oleh Hamzah amat tepat sekali.

Katanya, keputusan Menteri MOA tidak mengendahkan cadangan Hamzah menempatkan pegawai-pegawai LPP di NAFAS harus dihormati dan dipuji oleh ahli-ahli peladang.

“Kini NAFAS mempunyai pasukan baharu dan diharapkan mereka tidak akan terpengaruh dan mengikut kehendak KP LPP selaku Pendaftar.

“Saya berharap agar pasukan baharu NAFAS ini yang dipimpin oleh Dato Ir.Phahrolrazi Zawawi selaku Pengerusi dan Haji Ahmad Shaari sebagai GM NAFAS akan terus menentukan halatuju NAFAS sebagai suatu entiti perniagaan yang menguntungkan.

“Sementara LPP akan terus menjalankan tugasnya sebagai pendaftar saja”, tegasnya.

Sylvester berkata, segala usaha untuk memajukan NAFAS sebagai sebuah entiti perniagaan secara komersil dan menjana keuntungan lumayan kepada pemegang-pemegang saham yang terdiri daripada hampir satu juta ahli peladang amat dialu-alukan.-pr/BNN