PPN Sabah persoal rasional NAFAS panggil MAT 2018 kali kedua

0
792
Datuk Ng Loi Tect

PITAS: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah hari ini meminta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memberi penjelas berhubung notis Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) ke 45, Tahun 2018 yang dijadual diadakan pada 19 Mac 2019 depan.

Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah, Datuk Ng Loi Tect berkata, PPN Sabah telah menerima notis tersebut yang bertarikh 19 Februari 2019 yang ditandatangani oleh Pengerusi NAFAS, Dato’ Haji Ir Phahrolrazi bin Mohd Zawawi.

Katanya, mesyuarat itu akan diadakan pada 19 Mac 2019, jam 8.00 malam di Grand Mesmera Ballroom, Level 1, The Everly Putrajaya, Jalan Alamanda 2, Presint 1, Putrajaya.

Ng yang juga Pengerusi PPK Pitas berkata, perwakilan dari Sabah ingin mengetahui apa rasional  MAT NAFAS diadakan pada waktu malam dan kenapa ianya diadakan semula di The Everly Putrajaya sekali lagi?

“Sedangkan di hotel itulah para perwakilan NAFAS dipanggil oleh Ketua Pentadbir NAFAS atas arahan Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Padang (LPP), Encik Hamzah Bahari untuk hadir mesyuarat agung  pada 20 Disember 2018,  sedangkan tiada punca kuasa yang jelas untuk mereka memanggil mesyuarat (kerana perlembagaan NAFAS masih digantung).

“Akibatnya NAFAS dan semua PPN terpaksa menanggung kerugian diatas perbelanjaan mesyuarat agung yang tidak sah itu”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga perwakilan Sabah ke MAT NAFAS tahun lalu berkata, sekiranya mesyuarat kali ini berlangsung maka akan ada dua mesyuarat agung pada tahun 2019.

“Pertama ialah MAT ke 45 pada 19 Mac 2019 (MAT 2018 ) dan kedua ialah  yang akan dibuat pada akhir tahun ini, iaitu MAT ke 46, tahun 2019.

“Justeru para peladang seluruh negara ingin bertanya kepada pendaftar (Hamzah) bolehkah NAFAS dan PPN mengeluarkan perbelanjaan sekali lagi untuk mesyuarat kali ini, sedangkan peruntukan bagi NAFAS untuk menganjurkan MAT dan PPN menghantar perwakilan ke MAT sudah dibelanjakan pada tahun lalu.

“Dan Mesyuarat Agung NAFAS dan PPN juga hanya memperuntukan belanjawan hanya untuk satu mesyuarat agung sahaja pada setiap tahun.

“Adakah (Hamzah) selaku Pendaftar boleh memberi kebenaran khas untuk PPN berbelanja dua kali untuk menghadiri MAT NAFAS dan adakah NAFAS juga mendapat kebenaran khas berbelanja 2 kali untuk mengadakan MAT, sedangkan belanjawan yang diluluskan hanya sekali sahaja? “, soal Ng.

Justeru katanya, PPN  tidak berani mengeluarkan belanja untuk menghantar perwakilan 2 kali ke Mesyuarat Agung NAFAS.

“Ini kerana PPN telah membelanjakannya pada 20 Disember 2018 yang lalu, sedangkan MAT tersebut tidak dapat diadakan akibat kecuaian Pentadbir (Razana Ghazali) dan 7 orang pegawai LPP yang ditempatkan di NAFAS yang dikenali sebagai Ahli Jawatankuasa Tadbir NAFAS serta Pendaftar sendiri (Hamzah)”, tegasnya.

Tujuh pegawai LPP berkenaan ialah Dzulfadli Johan, Muhammad Azzrinie Shafie,  Arzilinna Ahmad Kamal, Sophian Niza Ismail,  Farhana Sakiron, Mohd Hafiz Abd Aziz dan Mohd Redzuan Kassim.

Menurutnya, sekiranya mesyuarat agung kali kedua ini perlu diadakan, PPN berharap pihak Pendaftar mengeluarkan satu arahan yang jelas bagi membenarkan PPN mengeluarkan perbelanjaan sekali lagi supaya PPN dapat memberikan penjelasan kepada ahli-ahli peladang di seluruh negara.

“Ini memandangkan para peladang merupakan pemegang saham di PPK, PPN dan NAFAS.

“Malahan PPN mengalami kerugian berganda atas kecuaian penganjuran MAT sebanyak 2 kali ini, kerana bukan sahaja terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih bagi menghantar perwakilan sekali lagi malah kerugian NAFAS membelanjakan peruntukan MAT kali kedua merupakan kerugian PPN juga selaku pemegang saham”, katanya.

Mengenai  Mesyuarat Agung NAFAS pada Mac 2019, PPN Sabah mencadangkan ianya diadakan pada waktu siang seperti amalan biasa supaya para perwakilan mempunyai masa yang cukup untuk  membahas dan memberikan pandangan sepanjang mesyuarat itu diadakan.

Selain itu  katanya, PPN juga mencadangkan ianya diadakan di  Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengelakkan suasana MAT menjadi  panas jika ianya diadakan di tempat lama (Everly Putrajaya), tempat dimana mesyuarat agung tidak dapat dijalankan sedangkan para perwakilan dari segenap pelusuk negara sudah bersusah payah hadir.

“PPN bimbang para perwakilan terbawa-bawa sentimen MAT yang lepas dan emosi terhadap pendaftar dan pentadbir NAFAS sehingga akan menyebabkan mesyuarat agung terganggu”, tegas Ng.

Ng juga meminta penjelasan sama ada pihak NAFAS atau LPP akan menanggung sebarang kos kehadiran mesyuarat kali ke 45 (panggilan kedua) ini bagi perwakilan atas sebab ianya berpunca dari kecuaian NAFAS (pentadbir) dan pendaftar (Hamzah) pada panggilan mesyuarat yang pertama.

Beliau juga mempersoalkan sama ada perbelanjaan operasi  dan perniagaan NAFAS bagi sepanjang bulan Januari dan Februari 2019 itu sah atau sebaliknya kerana tanpa kelulusan Bajet 2019 dalam Mesyuarat Agung yang seharusnya diadakan sebelum 2019.

“Bagaimana pentadbir menjalankan operasi dan perbelanjaan sepanjang tempoh tersebut  melangkaui kelulusan Mesyuarat Agung”.

“Adakah Mesyuarat Agung panggilan kali kedua ini telah diperuntukan oleh NAFAS dan telah dirancang oleh pentadbir LPP pada masa itu, setelah panggilan pertama mesyuarat agung gagal diadakan, walaupun perwakilan telah hadir?”, tegasnya.

Menurutnya, mengikut Seksyen 24A(2) Akta 109 Pertubuhan Peladang 1973, mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada Pertubuhan Peladang (NAFAS), boleh dikenakan ‘surcharge’  dibawah seksyen tersebut.

Ng berkata, Pengurusan NAFAS yang baharu harus lebih cekap dan peka dengan situasi semasa, serta memahami sentimen masyarakat peladang atas pelbagai isu dan masalah yang telah dibangkitkan oleh pendaftar (Hamzah) bermula dari penggantungan NAFAS, pemotongan subsidi hinggalah konflik mengadakan mesyuarat agung pada tahun lepas, bagi mengelakkan sebarang ketidakpuasan hati perwakilan peladang berhubung perbelanjaan yang terpaksa digunapakai sebanyak dua kali untuk mengadakan mesyuarat agung semula.

“Justeru, NAFAS perlu pertimbangkan kemudahan perwakilian peladang dengan mengadakan mesyuarat agung di tempat yang memudahkan mereka

untuk hadir dan semua akses kemudahan pengangkutan mencukupi disamping lain-lain  fasiliti yang menyenangkan perwakilan dari pelbagai peringkat umur”, tambahnya.

“Maka mengadakan mesyuarat agung di Bandaraya Kuala Lumpur  pada waktu yang munasabah iaitu di siang hari sepatutnya menjadi pilihan NAFAS dan LPP”, tegas Ng.

PPN Sabah berharap NAFAS akan mengambil kira pandangan daripada akar umbi dan pemegang saham sebelum pelaksanaan Mesyuarat Agung ini kerana bukan sahaja melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi malah tenaga, masa dan logistik semua para perwakilan.

“PPN Sabah juga amat yakin kepimpinan AJP dan Pengurusan NAFAS yang baharu mempunyai kredibiliti, berfikiran terbuka dan komitmen yang tinggi untuk membaik pulih imej NAFAS setelah tercalar teruk akibat tindakan KP/Pendaftar (Hamzah) serta Jawatankuasa Pentadbir yang diarahkannya”, tambahnya.-pr/BNN