KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terpalit dalam skandal lesen cari gali mineral yang digembar-gemburkan oleh portal Malaysiakini disifatkan sebagai satu lagi siri perang persepsi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Pemuda GRS Beaufort, Mohd. Shahril Osin.

Katanya, tuduhan bersifat selektif itu menggambarkan betapa sesetengah pihak kini terdesak untuk mencemarkan kredibiliti GRS, meskipun rekod kepimpinan mereka lebih bersih berbanding sesetengah pemimpin UMNO sendiri yang sebelum ini turut dikaitkan dengan pelbagai skandal.

“Pemimpin UMNO seharusnya cermin diri sebelum menuding jari kepada orang lain. Jangan lupa, Ketua UMNO Sabah sendiri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, masih berdepan kes rasuah bersama isterinya yang menjadi perhatian seluruh negara,” katanya ketika mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman.

Menurut Mohd.Shahri, dakwaan dan label seperti “Sabah dilanda kanser” dan “golongan elit menggila” yang dilontarkan Rosman bukan sahaja keterlaluan, malah memperlihatkan sifat hipokrasi dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO yang turut sarat dengan rekod kontroversi dan kepentingan diri.

“Sangat tidak adil untuk melemparkan tuduhan liar tanpa bukti konkrit hanya kerana ingin menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri yang diterajui GRS. Ia jelas bertujuan mengelirukan rakyat menjelang PRN,” katanya.

Beliau turut mempertikai sikap berat sebelah portal terbabit yang menerbitkan laporan berdasarkan ‘tangkapan layar’ dan rakaman yang tidak disahkan.

“Ini bukan kewartawanan beretika. Ia hanya mainan politik yang berselindung di sebalik dakwaan kononnya demi integriti, sedangkan tujuan utamanya adalah menjatuhkan imej GRS dan mengalihkan tumpuan daripada isu-isu dalaman UMNO Sabah sendiri,” katanya.

Tambah beliau, GRS dan rakan komponennya sentiasa memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada siasatan sah dilakukan.

“Berbeza dengan pemimpin tertentu dalam UMNO yang lebih gemar menjadikan media sebagai medan membakar persepsi awam, GRS kekal konsisten untuk memimpin dan membangunkan negeri ini secara berintegriti,” ujarnya.

Shahril yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Klias turut menyeru rakyat Sabah agar lebih bijak menilai sesuatu isu dan tidak mudah terpengaruh dengan permainan politik yang didalangi oleh pihak berkepentingan menjelang pilihan raya.

“Sabah perlukan kestabilan, bukan propaganda politik yang hanya mahu memecah-belahkan rakyat dan menjatuhkan pemimpin yang bekerja,” katanya.-pr/BNN