KENINGAU: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan di DUN Liawan apabila bantuan kemudahan kesihatan disalurkan kepada penduduk yang memerlukan di Kampung Bariawa Ulu, baru-baru ini.
Mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman (AAA), Skuad Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan yang diketuai Pemaju Mukim Kali, Mcnarwin Jerman, telah menyerahkan sebuah katil Hi-Low kepada Musidin Simir serta sebuah kerusi roda kepada Muzaviah Abd Haid.
Penyerahan bantuan itu dilaksanakan menerusi Program Homeward anjuran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Keningau dengan kerjasama erat UPPM Liawan.
Menurut Mcnarwin, bantuan berkenaan adalah manifestasi keprihatinan AAA terhadap golongan memerlukan, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan dan kebajikan di peringkat komuniti.
“AAA sentiasa menekankan bahawa khidmat mesti sampai ke rumah, bukan hanya terhenti di pejabat. Beliau mahu rakyat di Liawan, terutama yang uzur atau kurang upaya, merasai sentuhan dan perhatian kepimpinan,” katanya.
Turut hadir dalam majlis penyerahan itu ialah Pengerusi JKKK Bariawa Ulu, Haidie Kunsalam, dan Ketua Kampung, KK Micheal Dumi Tundou, yang menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai bukti hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat akar umbi.
Bantuan berkenaan bukan sahaja meringankan beban fizikal keluarga terbabit, malah memberi dorongan moral kepada mereka bahawa nasib mereka tidak dipinggirkan.
UPPM Liawan turut merakamkan penghargaan kepada JPKA Keningau atas usaha murni melaksanakan program tersebut, yang jelas menunjukkan bahawa kolaborasi strategik antara agensi kerajaan dan wakil rakyat mampu menjangkau lapisan masyarakat paling memerlukan.
Inisiatif ini sejajar dengan prinsip kepimpinan AAA yang konsisten turun padang dan mendekati rakyat melalui slogan: “Bergerak Bersama Rakyat, Sentuh Hati Mereka.”-pr/BNN