KOTA KINABALU: Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 semalam, menyerlahkan komitmennya untuk terus memperjuangkan nasib rakyat di kawasan pedalaman, khususnya di Liawan.
Annuar yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), antara pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) yang hadir bersama Presiden parti merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan. Turut hadir ialah Datuk Ellron Alfred Angin (ADUN Sook), Datuk Flovia Ng (ADUN Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (ADUN Paginatan).
Sidang DUN yang berlangsung selama dua hari ini memberi tumpuan kepada pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025 dan tiga lagi RUU lain, serta perbahasan isu pembangunan strategik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.
Annuar menegaskan, beliau tidak pernah menganggap kehadiran ke DUN sebagai satu rutin, sebaliknya sebagai tanggungjawab besar untuk memastikan suara rakyat akar umbi didengar dan dipertimbangkan dalam setiap dasar negeri.
“Saya tidak datang hanya untuk mencukupkan korum. Setiap kali saya melangkah ke dalam Dewan ini, saya membawa suara rakyat Liawan – suara mereka yang dahagakan pembangunan, pembelaan dan perubahan menyeluruh,” katanya ketika ditemui selepas sesi persidangan pagi.
Katanya, kawasan pedalaman seperti Liawan sering kali berdepan jurang pembangunan yang besar, dan memerlukan perhatian lebih serius serta pendekatan dasar yang lebih proaktif.
“Liawan dan kawasan pedalaman lain tidak harus terus dipinggirkan. Kita mahu perancangan pembangunan negeri benar-benar merangkumi keperluan luar bandar – dari segi infrastruktur, peluang ekonomi, akses pendidikan hingga keperluan asas seperti bekalan air bersih dan jalan raya,” ujarnya.
Menurutnya, selaku wakil rakyat, beliau akan terus menjadi suara tegas rakyat pedalaman dalam sidang DUN dan mana-mana forum rasmi kerajaan, supaya pembangunan tidak hanya tertumpu di bandar, sebaliknya menyeluruh serta bersifat inklusif.
Sidang DUN Sabah kali ini akan menutup tirainya hari ini (Selasa), dengan beberapa usul penting berkaitan pelaksanaan agenda pembangunan negeri serta pembentangan belanjawan tambahan menjelang tempoh akhir penggal pentadbiran kerajaan GRS-PH.-pr/BNN