TYT Sabah berkenan saksi upacara angkat sumpah jawatankuasa SCCC

0
478
Juhar dan Norlidah (duduk, tengah) bergambar kenang-kenangan bersama tetamu dan ahli jawatankuasa SCCC 2019-2022.- Foto Liaw Sin Kuang

KOTA KINABALU: TUAN  Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun  Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni  telah berkenan menghadiri  Majlis Upacara Angkat Sumpah Jawatankuasa baru Dewan Perniagaan Sabah -China (SCCC) 2019-2022  di Dewan Hakka, Kota Kinabalu, semalam.

Frankie (empat dari kiri) menyerahkan replika cek RM38 ribu sumbangan ahli-ahli SCCC kepada Juhar sambil diperhatikan ahli jawatankuasa SCCC- Foto Liaw Sin Kuang

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk  Wong Hong Jun yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd.Shafie Haji Apdal, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Poon Ming Fung, Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu, Encik Liang Caide dan Presiden SCCC, Datuk Frankie Liew dan Timbalannya, Dato Paduka Soh Poh Soon.

Upacara Angkat Sumpah itu selain dihadiri oleh ahli-ahli perniagaan tempatan, turut disertai oleh  lebih daripada 100 delegasi perniagaan yang mewakili pelbagai pertubuhan dan dewan perniagaan dari negara China.

Shafie dalam ucapannya yang dibacakan oleh Wong Hong Jun, yakin dan percaya peranan yang bakal dimainkan oleh SCCC  akan dapat memberi manfaat bukan saja kepada ahli-ahli pertubuhan ini, malah akan merapatkan lagi hubungan perdagangan Sabah-China.

Frankie (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Norlidah sambil diperhatikan oleh Juhar di majlis itu.

“Ini akan memberi impak positif terhadap ekonomi negeri Sabah”, katanya.

Menurutnya, majlis itu yang turut dihadiri oleh delegasi perniagaan daripada negara China merupakan satu testimoni dan petanda baik pada awal penubuhan SCCC kerana telah berjaya menarik ramai delegasi dari China ke Sabah.

Sementara itu Frankie  turut menyerahkan cek bernilai RM38 ribu sumbangan ikhlas ahli-ahli SCCC kepada Yayasan Nur Jauhar yang diterima oleh Juhar di majlis itu.-Oleh Liaw Sin Kuang.