Biro pendidikan BERSATU Sabah puji tindakan pantas pihak berkuasa rampas ghost, smoke candy

0
655
Matbali bergambar kenang-kenangan bersama para peserta program gotong-royong itu.

BEAUFORT:  Biro Pendidikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah memuji tindakan pantas pihak berkuasa kesihatan Sabah merampas gula-gula “ghost candy” dan “smoke candy” dalam operasinya di seluruh Sabah.

Pengerusi Biro itu, Encik Matbali Musah berkata, penjualan gula-gula yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut amat membimbangkan ibu-bapa pelajar di negeri ini.

Katanya, ibu bapa telah menyuarakan kebimbangan mereka berkaitan produk itu kerana khuatir ia akan mempengaruhi kanak-kanak mengamalkan tabiat merokok.

“Tindakan pantas pihak berkuasa kesihatan merampas ratusan gula-gula tersebut amat kita alu-alukan kerana penjualannya melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1983”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Gotong Royong anjuran Persatuan Bola Keranjang Daerah Beaufort di Taman Foh Sang I, hari ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Setiausaha Biro Hal Ehwal Masyarakat Cina,  Parti Warisan Sabah Bahagian Beaufort, Encik Wiliam Fong, Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Beaufort, Encik Koay Kuan Yee, Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan Majlis Daerah Beaufort, Encik Yuzeirul Ahmad Yusop Pegawai Perhubungan ADUN Lumadan, Haji Tajudin Hj Asari dan Ketua Masyarakat Cina (KMC), Encik Lam Toh Sem.

Matbali mengulas kenyataan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Frankie Poon mengenai rampasan 766 produk ghost candy dan “smoke candy”  oleh pihak berkuasa kesihatan di bandar seluruh Sabah.

Menurut Poon, amaran juga telah dikeluarkan kepada semua sekolah untuk mengenal pasti dan menghentikan penjualan produk-produk berkenaan di premis mereka.

Katanya, kawalan ketat terhadap jualan gula-gula itu selari dengan siasatan menyeluruh perkara itu oleh Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri  dan Hal Ehwal  Pengguna.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad turut melahirkan kebimbangan produk seperti rokok dijual dan dipasarkan kepada anak-anak sekolah.

Sehubungan itu, Biro Pendidikan BERSATU Sabah berharap pihak berkuasa sentiasa mengadakan pemantauan di sekolah-sekolah dan juga premis-premis perniagaan termasuk di kawasan-kawasan luar bandar.

Matbali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Lumadan dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru ( PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Lumat Beaufort turut menggesa  guru-guru dan ibu bapa agar bekerjasama dalam memastikan  anak-anak terhindar daripada mengambil produk gula-gula itu.

Beliau juga merayu kepada masyarakat agar turut sama memainkan peranan serta memantau gejala tidak sihat dikalangan pelajar dengan memaklumkan kepada ibu-bapa dan guru-guru pelajar berkenaan.

“Apa yang kita lakukan ini adalah kerana  keprihatinan dan kasih sayang kepada para pelajar dan anak-anak, agar mereka menjadi model insan terbaik di masa hadapan”, tegasnya.-pr/BNN