KENINGAU: Suara deruan mesin pembancuh simen dan derapan kaki pekerja binaan kini menjadi latar baharu di Kampung Buang Sayang, menandakan permulaan era baharu bagi penduduk yang sekian lama bergelut dengan jalan tanah yang rosak dan berlumpur.

Projek pembinaan jalan konkrit yang mula dilaksanakan awal Julai lalu merupakan inisiatif terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, dalam usaha berterusan memperkasa infrastruktur luar bandar di kawasan pedalaman.

Projek berfasa ini turut mendapat sokongan padu daripada pemimpin akar umbi termasuk Ketua Kampung, Subarjoe Jalil Angkub Mansai dan Pengerusi JKKK, Breadthy Mandiwit Simbuna, yang bersama-sama memastikan kelancaran pelaksanaan projek sepanjang beberapa ratus meter itu.

Menurut Robert, jalan konkrit yang dibina bukan sekadar kemudahan fizikal, sebaliknya menjadi pemacu kepada transformasi sosial dan ekonomi kampung berkenaan.

“Kita tidak mahu ada rakyat yang terus ketinggalan hanya kerana kekangan akses asas. Setiap kampung berhak menikmati pembangunan, tanpa mengira sejauh mana terpencilnya mereka,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kemajuan projek.

Bagi penduduk kampung, jalan baharu ini ibarat denyut nadi baharu yang menghubungkan mereka dengan dunia luar. Ia menjadi laluan selamat untuk anak ke sekolah, jalan mudah ke hospital, dan akses penting untuk urusan harian serta peluang ekonomi, khususnya semasa musim hujan yang sering menyebabkan laluan lama terputus.

Penduduk tempatan menyifatkan inisiatif ini sebagai lambang keprihatinan pemimpin yang benar-benar cakna terhadap keperluan rakyat.

“YB Robert tidak pernah lupa kami walaupun kampung ini kecil. Beliau datang bukan sekadar membawa janji, tapi penyelesaian,” kata Ketua Kampung, Subarjoe penuh syukur.

“Ini bukan projek sempena pilihan raya. Ini bukti dia pemimpin sebenar, yang kekal hadir dalam hidup kami sepanjang masa,” tambah Breadthy Mandiwit yang tidak menyembunyikan rasa teruja dan bangga.

Projek ini turut dikawal selia secara teliti bagi memastikan mutu kerja berada pada tahap terbaik, sesuai dengan iltizam Robert yang menjadikan “infrastruktur untuk semua” sebagai dasar perjuangan – bukan sekadar retorik politik.

Langkah ini secara tidak langsung memperkukuh lagi reputasi beliau sebagai pemimpin lapangan yang sentiasa turun padang, mendengar denyut nadi rakyat dan bertindak lebih awal daripada yang dijangka.

Dalam setiap batu konkrit yang terbentang, tergambar nilai sebuah kepimpinan yang berlandaskan rakyat dan berpijak di bumi nyata.-pr/BNN