KENINGAU: SMK Keningau 2 bakal memiliki skrin LED baharu di Dewan Super Cemerlang hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Sumbangan itu disampaikan oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat N.40 Bingkor, Mohd Zaki Haji Zakaria, kepada Pengetua SMK Keningau 2, Tuan Haji Ahmud Saribin, yang mewakili Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Pihak sekolah memaklumkan, skrin tersebut akan digunakan untuk aktiviti pembelajaran, kokurikulum dan majlis rasmi sekolah, sekali gus meningkatkan kualiti kemudahan sedia ada.

PIBG dan warga sekolah merakamkan penghargaan kepada Robert atas keprihatinan dan sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan pendidikan luar bandar.

Sumbangan ini mencerminkan komitmen ADUN Bingkor dalam memastikan pelajar di kawasan pedalaman mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang moden dan kondusif.-pr/BNN