KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ts. Mustapha Sakmud menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkan isterinya dengan insiden tragik melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang dibangkitkan dalam perbahasan Parlimen baru-baru ini.
Beliau menyifatkan tuduhan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Kota Bharu itu sebagai tidak berasas, bersifat fitnah serta mencemarkan maruah dan reputasi keluarganya, khususnya isterinya, Rosnih Nasir yang telah bersara dari dunia pendidikan sejak tahun lalu.
“Isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir, telah menamatkan perkhidmatan sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar pada 22 November 2024. Selepas itu, beliau tidak lagi terlibat dalam sebarang urusan pentadbiran mahupun pengurusan sekolah secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Mustapha, kejadian yang menimpa Allahyarhamah Zara berlaku pada 16 hingga 17 Julai 2025, iaitu hampir lapan bulan selepas persaraan isterinya.
Justeru, sebarang cubaan untuk mengaitkan isterinya dengan insiden tersebut adalah tidak berasas dan satu bentuk manipulasi politik yang tidak beretika.
“Fitnah sebegini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah menyalahi prinsip akhlak seorang Muslim. Kami menyeru semua pihak agar berpegang kepada prinsip tabayyun – menyelidik sebelum menyampaikan maklumat – dan tidak menjadikan tragedi ini sebagai bahan eksploitasi politik,” tegas beliau.
Mustapha turut menggesa agar semua pihak menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan emosi serta reputasi individu tidak bersalah.
Beliau dan keluarga turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan mendoakan agar keadilan ditegakkan serta kekuatan diberikan kepada keluarga mangsa untuk menghadapi ujian tersebut.-pr/BNN





