Abdul Kalam Hassan sambut baik kenyataan Tan Sri Rais Yatim

0
805

 

MELAKA: Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Melaka, Encik Abdul Kalam Hassan (gambar) menyambut baik kenyataan Tan Sri Dr.Rais Yatim berhubung Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019.

Katanya, pandangan dan teguran bekas Menteri Persekutuan itu amat tepat dan bernas.

“Sebagai ahli politik veteran, kenyataan Dr Rais wajar dijadikan panduan oleh pihak Kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia.

“Sesuatu peraturan yang dipindah dan diwartakan oleh kerajaan sepatutnya memberi kebaikan dan mengharmonikan pihak yang terlibat, sebaliknya bukan menyebabkan kemarahan pihak yang berkepentingan.

“Bagaimana sektor peladang dapat diperkasa sekiranya peraturan yang dibuat oleh kerajaan telah menghakis kepentingan dan hak para peladang dan petani”, katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau.

Abdul Kalam yang juga AJP Pertubuhan Peladang Kebangsaan ( NAFAS ) berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu (3 Oktober 2019), Tan Sri Dr Rais Yatim semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Tahunan PPN Sabah ke 32 di Kota Kinabalu, menggesa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendengar dan memgambil kira bantahan daripada para ahli PPN yang menolak pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019, yang mereka sifatkan sebagai satu bentuk campur tangan politik dalam pertubuhan itu.

Saya kira sektor perladangan yang secara nasionalnya diwakili oleh persatuan peladang kita dan pengurusan di bawah lembaganya, serta naungan pihak Menteri Pertanian, perlu dilihat dalam konteks pembangunan negara dan dalam masa yang sama, sepenuh penghargaan harus juga diberi kepada akar umbi.

“Ini bermakna suara akar umbi itu lebih penting daripada kuasa eksekutif. Jadi dalam konteks pemilihan pemimpin di akar umbi harus lebih penekanannya, sebagai penghormatan kepada rakyat berbanding dengan kuasa melantik, yang seharusnya lebih rendah daripada kuasa mesyuarat agung,” katanya.

Bekas Menteri Persekutuan itu merujuk kepada permasalahan yang berpunca daripada pewartaan tersebut, yang mana PPN Kedah, semasa mesyuarat agungnya pada September 26 lalu, telah hampir sebulat suara menolak pewartaan berkenaan dan keputusan tersebut mungkin akan mempengaruhi PPN-PPN di negeri-negeri lain yang bakal mengadakan mesyuarat agung masing-masing dalam masa terdekat.

Pengerusi PPN Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman, dilaporkan berkata, menerusi pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019, membolehkan sebahagian Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan PPN dilantik melalui kuasa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kata beliau, di peringkat Nafas, seramai enam orang AJP Nafas boleh dilantik di bawah kuasa menteri itu dan hanya lima orang melalui pemilihan mesyuarat agung pertubuhan tersebut .Manakala di peringkat PPN, seramai lima orang AJP PPN boleh dilantik oleh menteri terlibat dan hanya empat orang sahaja dipilih melalui mesyuarat agung PPN.

“Ini menunjukkan bahawa adalah jelas PPN menolak sebarang bentuk campur tangan politik dalam pertubuhan peladang (PPN) dan perkara ini disuarakan melalui mesyuarat agung,” kata Abdul Lateh.

Sebelum ini, kesemua 42 PPK yang menaungi 100,000 orang petani di negeri itu membantah sekeras-kerasnya terhadap pindaan komposisi AJP pertubuhan itu yang dianggap campur tangan politik.

Pindaan yang berkuat kuasa 1 Mei lalu itu, telah mencabul hak ahli-ahli pertubuhan dan ‘merampas’ kuasa mereka untuk melantik AJP di tiga peringkat untuk mewakili suara golongan berkenaan.

Pada April lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melakukan pewartaan terhadap Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 untuk mentranformasikan kepimpinan Pertubuhan Peladang di tiga peringkat iaitu PPK, PPN dan Nafas.

Dr Rais berkata dalam konteks pertubuhan peladang di Sabah, seperti di negeri-negeri lain, kuasa menentukan para pemimpin dan ahli jawatankuasa haruslah lebih ramai daripada bilangan yang dilantik oleh menteri.

“Ini yang terbaik. Tetapi oleh kerana suasana sekarang, suasana ini harus diperbaiki dan sekiranya perwakilan itu lebih kepada perlantikan (oleh Menteri) maka imej yang kurang baik, apatah lagi kalau mereka dari golongan tertentu saja.

“Ini akan memberi keadaan yang tidak berimbang. Itu lah yang saya sebutkan, bahawa mengikut lunas “Common Law”, orang-orang yang dipilih oleh rakyat perlu diberi lebih keutamaannya daripada kuasa eksekutif yang melantik.

“Jadi dalam persatuan peladang ini perlu dihormati supaya kita mempunyai trend ataupun kecenderungan yg seragam seluruh negara,” katanya.

Menjawab soalan lain, Dr Rais berkata beliau akan berhubung dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tentang perkara berkenaan.

“Saya sudah berhubung dengannya dan satu perhubungan yang lebih intim akan dibuat, menyampaikan hasrat supaya kuasa beliau dibawah Seksyen 35 dalam Peraturan-Peraturan tersebut dapat dihuraikan dalam konteks pemberian mandat kepada rakyat.”

Tetapi saya kira dari segi musimnya sudah hampir tamat, jadi untuk mengolah dibawah Seksyen 35 itu hanya menteri tersebut boleh membuat pengecualian.-pr/BNN