Utamakan pekerja tempatan

0
98
Ir. Abdul Aziz Julkarnain Ketua Pemuda Umno Sabah

KOTA KINABALU:Keputusan kerajaan Negeri untuk mengharamkan perniagaan mesin slot di seluruh negeri menjelang hujung tahun ini telah mengundang bantahan beramai-ramai daripada pemegang taruh di kalangan operator dan pekerja-pekerja premis yang bakal kehilangan pekerja.

Dalam satu kenyataan akhbar Ketua Pemuda UMNO Sabah IR. Abdul Aziz Julkarnain berkata walaupun Pemuda UMNO Sabah bersetuju dengan keputusan pengharaman tersebut, kerajaan negeri perlulah memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap warga Sabah yang terkesan dengan pengharaman tersebut dengan memberikan peluang masa untuk mereka mencari pekerjaan yang baru.

Beliau berkata, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu apatah lagi dengan KDNK negeri (1.5%) yang merosot teruk ditambah lagi dengan kadar pengangguran (5.8%) yang tertinggi di negara ini, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mencari peluang pekerjaan yang baru.

“Justeru, kerajaan negeri perlu mencari pendekatan yang lebih baik untuk menyelesaikan isu-isu pembuangan kerja yang sedang berlaku di seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau laporan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati 24,600 pekerja diberhentikan majikan bagi tempoh Januari sehingga September lepas.

“Kami menyeru agar kerajaan negeri melanjutkan tempoh penamatan tersebut ke satu tempoh yang wajar memandangkan tempoh tiga (3) bulan tidak cukup untuk mencari pekerjaan baru.”

Kerajaan negeri juga perlu menggunakan agensi-agensi yang ada untuk menyerap pekerja-pekerja tersebut ke dalam satu bentuk latihan seperti vokasional, pelancongan atau bidang-bidang berkaitan memandangkan mereka ini sudah mempunyai pengalaman kerja, tegasnya.

“Pemuda UMNO Sabah juga ingin menegur polisi-polisi kerajaan negeri yang mengutamakan pekerja-pekerja asing dengan pemberian pas kerja untuk pengisian peluang pekerjaan di negeri ini.”

Sebagai peringatan Akta Kerja 1955 telah menetapkan agar keutamaan pilihan diberikan kepada pekerja warganegara manakala pekerja asing sebagai pilihan akhir, katanya.

“Pemberian kerja kepada 600 ribu warga asing akan menyebabkan pengaliran keluar wang keluar negara yang akan merugikan negara kita sendiri dari segi ekonomi dan keselamatan.”-pr/BNN