KENINGAU : Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terhadap kesejahteraan rakyat terus dizahirkan menerusi sumbangan ikhlas kepada individu kelainan upaya (OKU) dan kemudahan awam di kawasan ini.
Seorang pemuda, Sazlan John dari Kampung Luagan Baru yang mengalami masalah penglihatan, menerima sumbangan daripada Annuar sebagai tanda sokongan terhadap kebajikan golongan memerlukan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pemaju Mukim Luagan, Ruddy Gijau dalam satu majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan dan diterima oleh bapa Sazlan, John Lausang.
“Annuar bukan sekadar wakil rakyat, tetapi pemimpin yang memahami denyut nadi kami. Beliau wajar terus diberi mandat,” kata John.
Dalam program berasingan, Taman Rekreasi Tagal Kampung Samalang turut menerima sumbangan daripada Annuar bagi tujuan menambah baik sistem pencahayaan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung. Penyerahan disampaikan oleh Pemaju Mukim Kali, Mcnarwin Jerman kepada Pengerusi taman, Keddy Louis.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Annuar dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui kepimpinan berasaskan tindakan dan sentuhan akar umbi.-pr/BNN






