KENINGAU: Pemergian mantan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Keningau, Alex Amik, merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat adat dan budaya di daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan bersama Pengerusi Penyelaras Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Daerah Keningau, Rafie Datuk Robert, hadir menziarahi keluarga mendiang di Kampung Sungoi, Apin-Apin, semalam.

Dr Jeffrey menyifatkan mendiang sebagai pemimpin akar umbi yang berdedikasi dan disegani dalam memartabatkan institusi adat serta menyatukan masyarakat setempat.

Mendiang juga merupakan Ketua PDM Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Ranggom dan pernah memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi Penyelaras merangkap Pengerusi Elders Council KDCA Keningau.

Sumbangannya dalam memperkukuh perpaduan komuniti serta memperjuangkan warisan budaya Kadazan Dusun diiktiraf tinggi oleh KDCA Keningau yang merakamkan penghargaan atas segala jasa bakti beliau.

“Pemergian beliau bukan sahaja dirasai keluarga, malah seluruh masyarakat adat. Namun, semangat dan perjuangannya akan terus kekal dalam ingatan,” kata Rafie.

Jenazah mendiang dijangka disemadikan dalam masa terdekat mengikut adat keluarga.-pr/BNN