KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyalurkan sumbangan bagi menyokong penganjuran Majlis Perasmian Dewan Terbuka Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Ulu Senagang yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Operasi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Mohamad Raihan Jinode, yang mewakili Annuar dalam satu penyerahan ringkas di pejabat UPPM Liawan, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Senagang, Rubin @ Robin Enong hadir menerima sumbangan berkenaan, sebagai tanda sokongan berterusan wakil rakyat itu terhadap pembangunan komuniti dan institusi keagamaan di kawasan luar bandar.

Menurut Rubin, inisiatif yang ditunjukkan Annuar bukan sahaja membantu melancarkan penganjuran majlis perasmian berkenaan, malah mencerminkan keprihatinannya terhadap kesejahteraan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan budaya.

“Datuk Annuar sentiasa peka dan komited menyokong apa jua bentuk usaha yang dapat memperkukuh perpaduan serta memperkasakan komuniti kampung,” katanya.

Sumbangan itu juga sejajar dengan matlamat Annuar untuk menjadikan Liawan Terurus, Liawan Maju, menerusi pendekatan kepimpinan menyeluruh yang memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur, kerohanian dan sosial di peringkat akar umbi.-pr/BNN