KENINGAU: Ibu bapa di Kampung Sandapak diseru memanfaatkan peluang memastikan anak mereka menerima suntikan imunisasi Measles Rubella (MR) apabila kempen dijadualkan berlangsung pada Selasa, 19 Ogos ini di Balai Raya kampung berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sandapak, Rayner Adrian Eswar Munting, berkata program berkenaan bertujuan melindungi kanak-kanak daripada penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa, di samping memperkukuh tahap kesihatan komuniti secara menyeluruh.
Beliau memaklumkan kempen itu terbuka kepada semua kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga empat tahun 11 bulan, iaitu yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025, melibatkan warganegara dan bukan warganegara.
“Paling penting, suntikan diberikan secara percuma dan ibu bapa hanya perlu hadir bersama anak mereka ke balai raya pada masa yang ditetapkan,” katanya.
Sesi imunisasi akan diadakan dalam dua fasa iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, sebelum bersambung semula pada jam 2.00 petang hingga 4.30 petang.
Ibu bapa juga diingatkan supaya membawa buku rekod kesihatan atau buku klinik anak masing-masing. Bagi yang tidak mempunyai buku klinik, dokumen pengenalan diri perlu dibawa sebagai pengesahan.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Klinik Kesihatan Bingkor sebagai sebahagian usaha memastikan liputan imunisasi menyeluruh dalam kalangan kanak-kanak di daerah ini.-pr/BNN





