KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, sekali lagi membuktikan keakraban beliau dengan masyarakat apabila meluangkan masa santai bersama penduduk Kampung Purakagis, di sini petang kelmarin.

Program yang berlangsung dalam suasana mesra itu menghimpunkan pelbagai lapisan generasi – daripada kanak-kanak riang bermain, remaja yang penuh semangat, hinggalah warga emas yang tenang berkongsi pengalaman hidup.

Tanpa protokol rasmi, Annuar dilihat duduk bergaul dengan masyarakat, mendengar sendiri rintihan, cadangan serta harapan mereka.

Kehadiran kopi panas dalam teko tradisional menambahkan lagi kehangatan suasana, seakan mengimbau nilai kebersamaan dan kekeluargaan yang semakin pudar di era moden.

Bagi penduduk, momen sebegini bukan sahaja mencerminkan kepimpinan yang dekat di hati rakyat, malah membuktikan seorang wakil rakyat yang hadir bukan sekadar ketika diperlukan, tetapi sentiasa bersama dalam suka dan duka.

Dalam ucapannya, Annuar menegaskan sesi turun padang dan interaksi santai seperti ini amat penting kerana ia membuka ruang untuk beliau memahami keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.

“Pertemuan seperti ini adalah jambatan hati antara pemimpin dan rakyat. Saya akan terus memelihara jambatan ini supaya Liawan kekal terurus, maju dan sejahtera untuk semua generasi,” katanya.

Annuar berkata, pengalaman dan input yang dikongsi penduduk kampung amat berharga dalam merangka tindakan serta dasar pembangunan yang lebih tepat bagi memenuhi aspirasi masyarakat di Liawan.

Sementara itu, pemerhati politik tempatan melihat pendekatan mesra rakyat yang berterusan diamalkan Annuar sebagai isyarat jelas bahawa kekuatan hubungan akar umbi akan menjadi faktor penentu dalam landskap politik Liawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pendekatan itu, menurut mereka, bukan sahaja memperkukuh sokongan, malah memperlihatkan gaya kepimpinan yang konsisten, terbuka, dan sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat.-pr/BNN