Projek PPK Nabawan siap tahun ini

0
77
Ewon bergambar bersama rombongan di hadapan sebuah rumah PPK Nabawan.

NABAWAN: Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Nabawan yang pertama di Sabah bernilai RM9.3 juta, dibiayai sepenuhnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan, dijangka siap pada Oktober tahun ini.

Menteri KPLB Sabah Ewon Benedick berkata, projek yang dimulakan pada penghujung 2015 melibatkan 60 unit rumah dan 30 ekar Projek Ekonomi Madu Lebah dan Madu Kelulut itu khusus untuk Ketua Isi Rumah yang tersenarai dalam e-kasih.

“Projek ini melibatkan peruntukan RM9.3 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh KPLB Persekutuan. Manakala KPLB Sabah melalui Pejabat Daerah Nabawan akan memilih 60 peserta dikalangan penduduk kampung seluruh Nabawan yang tersenarai dalam e-kasih. Mereka akan dipilih melalui mesyuarat fokus group,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di tapak PPK Nabawan Kg Lima Nabawan bagi meninjau prestasi projek ini, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan projek itu walaupun sebelum ini terdapat sedikit kelewatan kerana hal berkaitan tanah.

“Apa yang penting, projek ini perlu disiapkan seberapa segera supaya keluarga yang dipilih dikalangan senarai e-kasih dapat menikmati manfaat rumah kediaman dan program ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, objektif program ini antaranya meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat luar bandar melalui penempatan baru yang lebih terancang dan serba lengkap dengan kemudahan-kemudahan infrastruktur serta ameniti sosial yang bersesuaian.

Turut serta dalam lawatan itu, dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Dumi Pg Masdal, Timbalan Pengarah KPLB (P) Sabah Christni Alus, Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Kesejahteraan Rakyat KPLB Sabah Charles W.Dabbi, Pegawai Daerah Nabawan Fredian Gan dan pegawai-pegawai KPLB Sabah.-pr/BNN