KENINGAU: Keprihatinan terhadap nasib pelajar dan atlet muda terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman apabila beliau menyalurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban pendidikan serta kos latihan penerima terpilih di kawasan itu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pembantu Operasi UPPM Liawan, Mohamad Raihan Jinode yang mewakili Annuar dalam satu majlis ringkas di pejabat UPPM Liawan, di sini.

Abby Haziera Neldy Vincent menerima sumbangan yang disampaikan melalui wakilnya, Julaidah Jikir, sebagai persiapan menyertai Dart Championship Cosmo Malaysia Open 2025.

Antara penerima manfaat ialah Sylvester Ady Alichan, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Teknologi Perniagaan (Kepujian).

Bantuan tersebut diyakini dapat membantu beliau menampung kos pengajian dan keperluan asas sepanjang menuntut di peringkat universiti.

Turut menerima sokongan ialah Abby Haziera Neldy Vincent, atlet muda yang bakal membawa cabaran Sabah ke Dart Championship Cosmo Malaysia Open 2025 di Flamingo Hotel, Kuala Lumpur.

Sumbangan itu diserahkan kepada wakilnya, Julaidah Jikir, sebagai dorongan dan suntikan semangat sebelum bertanding di pentas kebangsaan.

Seorang lagi penerima ialah Nur Athira Marjulum, calon pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah (Kepujian).

Bantuan kewangan tersebut diharap dapat meringankan persiapan awal beliau melangkah ke menara gading.

Para penerima menzahirkan penghargaan atas keprihatinan wakil rakyat itu yang sentiasa dekat dengan rakyat, khususnya generasi muda yang sedang berjuang membina masa depan.

Menurut mereka, tindakan Annuar bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, malah menjadi inspirasi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Langkah itu juga memperlihatkan kepimpinan berasaskan tindakan dan empati, selari dengan hasrat membangunkan masyarakat di peringkat akar umbi melalui sokongan pendidikan dan sukan.-pr/BNN