KOTA KINABALU: Pemain tenis remaja kebangsaan, Koh Yuna, muncul juara berganda apabila menjuarai acara perseorangan dan beregu bawah 12 tahun pada Malaysia Tennis Junior Tour Leg 4 yang berlangsung di Ayer Keroh, Melaka, dari 6 hingga 10 Ogos 2025.
Kejayaan itu menjadi bukti kerja keras dan dedikasi atlet berusia 11 tahun itu, selain sokongan padu daripada jurulatih serta ibu bapanya.
Koh, yang mula menceburi sukan tenis pada usia lapan tahun, turut menganggotai skuad tenis remaja kebangsaan yang meraih tempat ketiga pada ATF 12U South East Asia Team Competition di Bangkok, Thailand, dari 9 hingga 13 Jun lalu.
Selepas kejayaan terbarunya, Koh kini bakal membawa cabaran negara bersama rakan sepasukan pada ATF U12 Team Final di Singapura.
Warga tenis di Kota Kinabalu merakamkan ucapan tahniah kepada Koh, ibu bapanya serta para jurulatih, selain berharap beliau terus menyerlah dalam kejohanan antarabangsa akan datang.-BNN





