KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah Zara Qarina binti Mahadir, dengan mengadakan ziarah kasih ke kediaman keluarga serta pusara arwah, semalam.
Rombongan seramai 14 Ahli Jawatankuasa Tertinggi PMPS itu diketuai Presidennya, Dr. Aslie Sahat, bagi menyampaikan penghormatan terakhir serta menyatakan solidariti kepada keluarga yang sedang berduka.
Majlis ringkas penuh hiba itu turut disertai Timbalan Presiden, Hussin Basir; Setiausaha Agung, Alli Majittaba; Bendahari Agung, Agku Jiar Pg. Duraman; Penolong Setiausaha Agung, Dr. Kassim Buntak; bersama beberapa ahli jawatankuasa tertinggi lain.
Dalam kunjungan tersebut, PMPS turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada keluarga arwah, yang diterima oleh datuknya, Tuan Haji Hashim Ag. Tuah.
Beliau melahirkan rasa terharu atas keprihatinan dan sokongan moral yang dizahirkan warga PMPS.
Menurut Dr. Aslie, kehilangan arwah Zara Qarina amat dirasai kerana arwah masih di usia muda, namun dikenali dengan peribadi manis, sopan dan disenangi keluarga serta rakan sebayanya.
“Kehilangan ini satu ujian besar buat keluarga. PMPS hadir bagi menyampaikan doa, sokongan serta menegaskan bahawa keluarga tidak bersendirian dalam menghadapi dugaan ini.
“Kami mendoakan roh arwah ditempatkan dalam kalangan anak-anak syurga, sementara keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan,” katanya.
Ziarah itu jelas menggambarkan semangat kebersamaan serta nilai keprihatinan yang menjadi teras perjuangan PMPS.
Persatuan itu menegaskan bahawa pemergian arwah Zara Qarina menjadi peringatan tentang rapuhnya kehidupan, selain menyeru agar kasih sayang, silaturahim dan sokongan sesama insan terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.
PMPS sekali lagi berdoa agar segala urusan keluarga dipermudahkan Allah SWT, serta roh arwah Adik Zara Qarina ditempatkan di taman syurga-Nya.-pr/BNN





