Pertahankan dasar program matrikulasi KPM : Azizah

0
160
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun  berkata dasar pengambilan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia mengekalkan 90% tempat kepada Bumiputera dan 10% tempat kepada bukan Bumiputera berdasarkan sistem meritokrasi perlu dipertahankan dan tidak perlu diubah.

Beliau berkata, dasar kuota pelajar Bumiputera ke Program Matrikulasi masih sama 90 % perlu dipertahankan ini termasuk pelajar Bumiputera Sabah Sarawak. Di Sabah kita mempunyai 32 etnik, manakala Sarawak pula 27 etnik.

“Ini penting untuk membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang cemerlang,” tegas Azizah.

Selain itu, katanya pelajar Bumiputera perlu menguasai pelbagai ilmu dan bidang dan dibantu dari segi kemahiran dalam bidang perniagaan dan keusahawan.

“Seseorang graduan Bumiputera itu sukar untuk berjaya, sekiranya tidak memiliki ilmu pengetahuan dan pengalaman kerana dua perkara ini yang akan membantu dalam memastikan sesuatu tindakan itu betul atau salah. Graduan-graduan Bumiputera perlu menguasai bidang ekonomi, ini kerana penguasaan graduan Bumiputera dalam ekonomi negara terutama menerusi bidang keusahawanan dan perniagaan perlu dipertingkatkan dan bersaing dengan bangsa-bangsa yang lain.

“Sebagai kelompok penduduk majoriti, golongan Bumiputera tidak harus terpinggir daripada arus pembangunan dan adalah menjadi agenda kerajaan membantu membangunkan lagi ekonomi mereka. Ini termasuk semua graduan Bumiputera Sabah Sarawak perlu juga menguasai ilmu hingga ke peringkat tinggi, dengan ada matrikulasi ini peluang ini sudah tersedia untuk pelajar Bumiputera, dasar yang baik untuk Bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar pada hari ini sebagai mengulas isu Penjelasan Mengenai Kemasukan Ke Program Matrikulasi oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik.

Jelas Azizah lagi, graduan Bumiputera Melayu termasuk Bumiputera Sabah Sarawak perlu bersaing dengan bangsa-bangsa lain untuk mengusai bidang ekonomi. Dengan ini graduan bumiputera mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan sebaya mereka daripada kaum lain, sekali gus persaingan merebut peluang pekerjaan itu akan kembali terbuka luas.

“Graduan bumiputera perlu sedar betapa bilangan graduan pada hari ini terlalu ramai, ini menyebabkan majikan mempunyai pilihan yang banyak. Skil kemahiran dalam keusahawan perlu ada sebagai nilai tambah lain.

“Pencapaian akademik semata-mata bukan lagi menjadi pengukur utama kerana rata-rata memperoleh keputusan cemerlang, jadi mereka mencari calon yang mempunyai nilai tambah lain iaitu yang mempunyai kemahiran insaniah yang boleh diaplikasikan dalam kerja seharian,” ujarnya.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan Dasar pengambilan Program Matrikulasi KPM pada tahun ini masih mengekalkan 90 peratus tempat kepada Bumiputera dan 10 peratus tempat kepada bukan Bumiputera berdasarkan sistem meritokrasi.

Kuota pengambilan pelajar ke program matrikulasi untuk bukan Bumiputera adalah bersifat ‘one-off’ berdasarkan keperluan dan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi. KPM memaklumkan bahawa

KPM juga memberitahu bahawa penawaran 2,200 tempat kepada kaum India pada pengambilan tahun 2018 oleh kerajaan terdahulu adalah bersifat ‘one-off’. Hal yang sama juga dilaksanakan dalam penawaran 1,000 tempat untuk kaum Cina yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH)  pada tahun 2018 turut bersifat one-off.

KPM telah memperuntukkan 60 peratus tempat kepada pelajar dari golongan B40 dan baki 40 peratus akan diberi kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dah berpendapatan tinggi (T20). Perlaksanaan dasar baharu ini adalah lebih seimbang dengan memberi peluang kepada pelajar yang layak dan pada masa sama memberi fokus kepada golongan B40 secara bersasar.-pr/BNN