KOTA KINABALU: Pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperkukuh bagi melahirkan generasi muda Sabah yang kreatif, berkemahiran dan mampu memenuhi keperluan dunia yang semakin berteraskan teknologi.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata inisiatif pendidikan di peringkat akar umbi, termasuk penganjuran Karnival Inovasi Cilik Sabah 2026, amat signifikan dalam mendedahkan pelajar kepada dunia inovasi pendidikan.

Beliau berkata, usaha itu juga penting bagi menggalakkan lebih ramai anak Sabah berani meneroka bidang STEM, sekali gus mengembangkan potensi, kreativiti serta kemahiran berfikir kritis mereka.

“Program seumpama ini merupakan inisiatif di peringkat akar umbi yang amat signifikan dalam mendedahkan para pelajar kepada dunia inovasi pendidikan, selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa hadapan,” katanya.

Azrul berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival Inovasi Cilik Sabah 2026 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, di sini, kelmarin.

Program itu dianjurkan bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Padang, Kota Kinabalu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu dan Jemaah Nazir Sabah.

Beliau berkata, pendedahan kepada bidang STEM perlu terus digalakkan bagi membantu pelajar mengembangkan potensi diri, selain membina kreativiti dan kemahiran berfikir kritis yang selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Katanya, usaha memperkukuh pendidikan dan menggalakkan penglibatan pelajar dalam bidang berkenaan memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, termasuk warga pendidik dan ibu bapa.

Azrul yakin, menerusi pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah serta sokongan berterusan semua pihak berkepentingan, usaha melahirkan generasi muda Sabah yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing dapat direalisasikan.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan usaha membangunkan potensi generasi muda dapat diteruskan, sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa hadapan.-pr/BNN