KOTA KINABALU: Pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperluas hingga ke sekolah luar bandar dan pedalaman Sabah bagi memastikan murid mendapat peluang sama rata mengembangkan bakat serta potensi dalam bidang teknologi dan inovasi.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata usaha memperkukuh pendidikan STEM penting bagi melahirkan generasi muda Sabah yang berkemahiran, kreatif dan berdaya saing seiring perkembangan teknologi masa kini.
Beliau berkata, pihaknya menyokong saranan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, supaya pendedahan awal kepada bidang STEM terus diperkukuh dalam kalangan generasi muda negeri ini.
Menurutnya, pendidikan STEM berperanan membentuk pemikiran kritis, kreativiti serta kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan murid, sekali gus menyediakan mereka menghadapi keperluan masa depan yang semakin dipengaruhi kemajuan teknologi.
“Anak-anak di luar bandar juga mempunyai kemampuan untuk berjaya dalam bidang teknologi dan inovasi sekiranya diberikan kemudahan, bimbingan serta peluang pembelajaran yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan.
Yazid berkata, kerjasama antara kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa dan sektor swasta perlu dipertingkatkan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program STEM secara lebih berkesan.
Katanya, usaha itu boleh dilaksanakan menerusi penganjuran bengkel inovasi, pertandingan reka cipta serta aktiviti pembelajaran praktikal yang memberi peluang kepada murid meneroka bidang sains dan teknologi secara langsung.
Beliau berkata, peluang pembelajaran sedemikian perlu diperluas supaya murid di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak ketinggalan, sebaliknya berpeluang mengembangkan kebolehan serta minat mereka dalam bidang berkenaan.
Yazid berharap usaha berterusan memperkukuh pendidikan STEM dapat melahirkan generasi muda Sabah yang bukan sahaja celik teknologi, malah berupaya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.-pr/BNN





