KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menyifatkan langkah Kementerian Kewangan di bawah pimpinan pemimpin kanan DAP memperluas sistem percukaian negara sebagai pendekatan terburu-buru yang hanya menambah beban rakyat.

Naib Presiden SAPP, Gee Tien Siong berkata, tindakan mengekalkan Cukai Barangan Nilai Rendah (LVGT), memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), selain bersedia melaksanakan Cukai Barangan Nilai Tinggi (HVGT) menunjukkan kerajaan seolah-olah tidak mengambil kira realiti hidup rakyat.

“Pendekatan ini digelar sebagai ‘suka-suka tax’ kerana cukai baharu seolah-olah diperkenalkan mengikut kehendak menteri tanpa memikirkan penderitaan rakyat biasa. Jika begini caranya, mungkin satu hari nanti akan diwujudkan pula ‘Cukai Barangan Nilai Sederhana’ supaya tiada barangan yang terlepas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, sistem percukaian yang adil perlu berasaskan tiga prinsip utama – mampu ditanggung rakyat, jelas dan mudah difahami, serta boleh dikuatkuasakan secara adil dan realistik.

“Malangnya, Kementerian Kewangan di bawah DAP telah mengabaikan prinsip ini dan memilih untuk mengaut setiap ringgit daripada rakyat. Ini bukan reformasi sebenar, sebaliknya langkah mendapatkan hasil atas kesengsaraan rakyat,” katanya.

Gee berkata, SAPP mengecam keras budaya percukaian tidak bertanggungjawab itu dan menggesa kerajaan berhenti menjadikan poket rakyat sebagai bahan eksperimen.

“Kerajaan perlu membina kerangka percukaian yang seimbang antara keperluan hasil negara dengan kemampuan rakyat biasa untuk hidup bermaruah,” tegasnya.-pr/BNN