MPKK di DUN Kadamaian akan ditambah: Ewon

0
673
Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Kg.Tamalang Taginambur Kota Belud

KOTA KINABALU: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian akan ditambah berdasarkan keperluan 1 kampung 1 MPKK, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, DUN Kadamaian ketika ini mempunyai seramai 74 MPKK yang telahpun menerima watikah pelantikan masing-masing beberapa bulan lalu.

“Penambahan MPKK ini penting untuk memudahkan pengurusan dan melancarkan pelaksanaan pembangunan di kampung berkenaan. Ini kerana ada Pengerusi MPKK di Sabah termasuk di kawasan Kadamaian yang menjaga sehingga tiga buah kampung kerana tiada penambahan atau pengujudan kouta perjawatan tambahan JKKK sebelum ini.

“Oleh itu, Kabinet telah bersetuju terhadap semakan keperluan sebenar urustadbir kampung ini supaya perjawatan itu ditambah berdasarkan keperluan 1 Kampung, 1 MPKK. Bagi kawasan Kadamaian, kita telah bersetuju untuk menambah 18 MPKK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Tamalang Taginambur Kota Belud, di sini, pada Isnin (hari ini).

Ewon berkata, semua pejabat daerah di seluruh Sabah telah mengenalpasti kampung-kampung yang perlu diwujudkan jawatankuasa MPKK yang baharu.

“Saya akan membentangkan jumlah penambahan jawatankuasa MPKK yang baharu kepada Kabinet dalam masa terdekat,” katanya.

Mengenai perayaan Pesta Kaamatan, beliau berkata, Kaamaan akan terus memberi inspirasi dan kekuatan kepada rakyat negeri ini untuk terus bersatu padu seterusnya memantapkan lagi perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Selain itu katanya, perayaan Pesta Kaamatan di peringkat kampung juga dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara penduduk kampung dan pemimpin masyarakat setempat.

Pada majlis itu, pelbagai acara menarik disusun termasuk pertandigan makanan tradisional, peragaan pakaian kanak-kanak, cabutan tiket bertuah dan persembahan kebudayaan.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Kota Belud Peter Jiton, Ketua Daerah Kota Belud Jaintin Molondoi, PPM kadamaian Saikom Watis, Setiausaha Perhubungnan KPLB Charles Dalansing dan Setiausaha Politik Carlye Lajimin.-pr/BNN