KENINGAU: Keprihatinan terhadap rakyat bukan sekadar slogan bagi Wakil Rakyat N.41 Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan nyata membantu anak muda dan menyokong kebersamaan komuniti setempat.
Terbaharu, Annuar melalui wakilnya, Pemaju Masyarakat Hairul Ahmad Syam, menyampaikan sumbangan kepada Nur Fatihah Shikin Jamari yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan, Sarawak, dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan (Kepujian).
Nur Fatihah menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas perhatian Annuar yang sentiasa memberi sokongan moral dan material kepada belia di Liawan. Katanya, bantuan itu bukan sahaja meringankan persiapan ke menara gading, malah menjadi pemangkin untuknya kembali berbakti kepada masyarakat setelah menamatkan pengajian.
“Saya akan bawa semangat Liawan ke kampus dan suatu hari nanti pulang dengan ilmu untuk berbakti,” katanya penuh tekad.
Selain menitikberatkan pembangunan modal insan melalui pendidikan, Annuar turut memberi perhatian terhadap pengukuhan perpaduan masyarakat.
Beliau baru-baru ini menyalurkan sumbangan kepada Komuniti Kristian Dasar (KKD) 8 St. Joseph Cupertino Kukub Senagang sempena penganjuran Hari Keluarga KKD 8 yang dijadual berlangsung pada 19 September ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pemaju Mukim Kali, Mcnarwin Jerman, kepada Pengerusi KKD 8, Noni Moris, di Pejabat UPPM Liawan. Noni menyifatkan sokongan Annuar sebagai bukti kepedulian seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat dan sentiasa menggalakkan semangat kebersamaan.
Bagi Annuar, kedua-dua inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk melihat Liawan berkembang melalui generasi muda yang berilmu dan komuniti yang bersatu padu. Beliau sebelum ini sering menegaskan, belia adalah aset penting dalam mencorak masa depan, manakala perpaduan rakyat pula menjadi asas utama untuk memastikan pembangunan berjalan lancar.
Keprihatinan itu sekali lagi mengangkat Annuar sebagai pemimpin yang tidak hanya menjalankan mandat di Dewan Undangan Negeri, tetapi juga merapatkan hubungan hati dengan rakyat melalui sentuhan kepedulian.-pr/BNN





