Nafas ikrar sokong BN dan kepimpinan PM: Nazri

0
282
SALLEH (lima dari kanan) bersama Nazri (barisan hadapan tiga dari kanan) dan masyarakat peladang di majlis itu. -Pix Jab Penarangan
SALLEH (lima dari kanan) bersama Nazri (barisan hadapan tiga dari kanan) dan masyarakat peladang di majlis itu. -Pix Jab Penarangan

KOTA BELUD: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang mewakili lebih sejuta peladang, penternak dan nelayan, berikrar menyokong kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Timbalan Pengerusi Nafas, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata sebagai golongan majoriti di peringkat akar-umbi, mereka komited menyokong BN demi kesinambungan kemajuan dan pembangunan negara.

Sehubungan itu, katanya, Nafas berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk terus mengemudi pemerintahan negara.

“Kita menyatakan komitmen ini sebagai membalas budi kerajaan BN yang banyak membela untung nasib golongan peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara serta mengiktiraf sumbangan kami dalam kemajuan sosioekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Muafakat Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Belud di sini pada Selasa.

Program dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia selaku Presiden Kehormat PPNS Datuk Seri Dr Salleh Tun Said yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Belud. Hadir sama ketiga-tiga calon BN, Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akim (Usukan) dan Ewon Benedick (Kadamaian).

Mohd Nazri yang juga Pengerusi PPNS berkata keprihatinan Perdana Menteri terhadap golongan peladang, penternak dan nelayan tidak dipersia-siakan, sebaliknya akan dibalas dengan sokongan padu kepada BN dalam PRU14 ini.

Katanya, tiada sebab dan alasan bagi mereka untuk tidak membantu kerajaan yang telah membela nasib mereka sejak sekian lama.

“Selain subsidi bagi setiap sawah yang diusahakan, kerajaan turut menyedia kemudahan untuk kami seperti sistem pengairan dan saliran, subsidi pembelian padi, baja padu dan racun, manakala nelayan diberikan elaun sara hidup dan kemudahan seperti enjin sangkut dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut prihatin dengan menyediakan sejumlah RM 30,000 kepada setiap PPK pada tahun lepas.

Beliau berkata Nafas kini mempunyai hampir 1 juta ahli seluruh negara dengan 278 PPK, manakala nelayan seramai 132,305 orang.

Mengenai PPK Kota Belud, Mohd Nazri memuji kegiatan ekonomi yang dijalankan di situ yang memberi banyak manfaat kepada ahli, sesuai dengan keluasan kawasan sawah Kota Belud sebagai antara pengeluar utama padi di negeri ini.-pr/BNN