PPNS hargai pencalonan ahli peladang, bukti pengikrafan tinggi: Nazri

0
107
Datuk Nazri
Datuk Nazri Abdullah

PENAMPANG: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menghargai kepimpinan kerajaan Barisan Nasinal (BN) kerana turut mengetengahkan calon berlatarbelakangkan peladang di Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPNS Jamawi Jaafar dicalonkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, manakala ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beaufort, Matbali Musah dicalonkan di DUN Lumadan.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata penampilan kedua-dua ahli peladang berkenaan membuktikan pengiktirafan tinggi kerajaan terhadap peranan dan sumbangan komuniti peladang dalam pembangunan ekonomi negara.

“Sebagai pemimpin berlatarbelakangkan peladang, sudah pasti kedua-dua mereka akan dapat memainkan peranaan dan mengetengahkan suara denyut nadi masyarakat peladang selepas dipilih kelak,” katanya, sambil mengakui terdapat juga ahli peladang di Semenanjung yang turut diketengahkan sebagai calon BN dalam PRU14.

Beliau berkata demikian pada program Muafakat Peladang PPK Penampang anjuran PPNS di sini pada Isnin.

Mohd Nazri yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkata golongan peladang, penternak dan nelayan merupakan kelompok komuniti terbesar yang memainkan peranan penting membantu menjana ekonomi negara.

Katanya, mereka adalah wira yang tidak didendang dalam konteks pembangunan ekonomi, justeru mengambil `Peladang wira kami’ sebagai tema program Muafakat Peladang itu.

Sehubungan itu, beliau menghargai keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyediakan peruntukan RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah menerusi Bajet 2018.

Peruntukan tersebut termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan.

Mengenai PPK Penampang, Mohd Nazri memuji komitmennya melaksanakan pelbagai program ekonomi sejajar dengan status daerah itu sebagai jelapang padi, biarpun terletak di kawasan pinggir bandar yang pesat membangun.

Katanya, banyak kawasan sawah terus diusahakan dimajukan oleh golongan petani yang bukan saja menjadi sumber pendapatan penduduk, tetapi sedikit-sebanyak turut menyumbang kepada pengurangan import bahan makanan.

Sempena program itu, pelbagai acara diadakan termasuk acara hiburan yang menampilkan artis-artis terkenal tanah air.-pr/BNN