KENINGAU: Suasana penuh meriah dan patriotik mewarnai Program Perarakan anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Bunsit, Bingkor sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang menghimpunkan lebih 250 peserta terdiri daripada murid, ibu bapa serta guru.
Perarakan bermula di perkarangan sekolah sebelum berakhir di Taman Bandukan Riverside Resort dengan peserta bersemangat menyanyikan lagu Jalur Gemilang sepanjang perjalanan, sekali gus menyemarakkan rasa cinta terhadap tanah air.
Ketibaan rombongan di resort berkenaan disambut mesra oleh Pengarah dan pemilik resort, Encik Rafie Robert, yang turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada penganjuran program berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif SK Bunsit yang bukan sahaja berjaya menanam semangat patriotisme dalam kalangan murid, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, guru dan masyarakat setempat.
“Semoga usaha sebegini dapat diteruskan demi memastikan perpaduan dan kemakmuran negara terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Program itu bukan sekadar platform meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, malah menjadi wadah memupuk kebersamaan serta perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi.-pr/BNN





