BINGKOR: Sebanyak 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) Bahagian N.40 Bingkor sebulat suara menyatakan pendirian agar Ketua Bahagian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, dikekalkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Jentera Pilihan Raya StarSabah Bahagian Bingkor yang dipengerusikan Timbalan Ketua Bahagian, Robert Paulus, di PDM Apin-Apin/St James Apin-Apin.
Ketua Wiramuda Bahagian, Florian @ Jai Ilon, menegaskan bahawa Pergerakan Wiramuda Bingkor secara konsisten mahu Robert terus diberi mandat memandangkan kepimpinannya yang disenangi masyarakat.
“Datuk Robert adalah calon paling sesuai kerana rakyat masih memerlukan beliau untuk meneruskan agenda pembangunan di Bingkor. Beliau mudah didekati, mesra dan tidak memilih kasih dalam melayani masyarakat,” katanya.
Menurut Florian, sejak Robert menjadi wakil rakyat sepenggal lalu, banyak perubahan pembangunan dapat dilihat di Bingkor selain komitmen tinggi beliau menjaga kebajikan rakyat termasuk turun padang tanpa mengira masa. Ucapan itu disambut tepukan gemuruh lebih 200 ahli jentera dan ahli StarSabah yang hadir.
Sementara itu, Ketua Wiraemas Bahagian, Gundohing Saimin Bandara, berharap suara akar umbi ini didengari oleh Presiden StarSabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
“Keputusan mesyuarat ini adalah suara akar umbi yang perlu dihormati. Jentera sudah bersiap sedia untuk bergerak,” katanya.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pelancaran rasmi Jentera Pilihan Raya DUN Bingkor yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian, Robert Paulus, mewakili Ketua Bahagian, Datuk Robert Tawik.
Dengan kesatuan dan sokongan padu daripada akar umbi, jentera StarSabah Bingkor yakin mampu memastikan kemenangan besar calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan itu pada PRN17.
Turut hadir, Pengerusi Tetap StarSabah, Gundohing Fred Vincent Marukau; Setiausaha Bahagian, Junior Fred Vincent; Timbalan Ketua Exco Wiramuda, Razzidin Robert; Ketua Wiranita, Jennefer Epil; Ketua Wiramaja, Everria Indai; serta pimpinan lain dari Bahagian Bingkor.-pr/BNN





