Kolej SIDMA tawar Diploma Pengurusan Sukan

0
329
Pertukaran dokumen perjanjian MoU antara Azizah dan Azhar disaksikan oleh Dr Morni Kambrie, Azlina, Dr Sukiman dan Aliudin.
KOTA KINABALU :Kolej SIDMA di sini menawarkan Diploma Pengurusan Sukan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia iaitu satu-satunya pusat pengajian tinggi yang melaksanakan pengajian seumpama itu di Sabah dan Borneo.
Pengerusi Kolej SIDMA Sabah, Dr. Morni Kambrie berkata, pengajian yang diharapkan dapat membantu melonjakkan pembangunan sukan negara itu akan bermula pada Mac 2019.
Menurut beliau, pengajian Diploma Pengurusan Sukan adalah merupakan antara inisiatif Kolej SIDMA bagi menyokong kerajaan Sabah dalam melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang di dalam bidang sukan, malah mereka juga akan berkelayakan dari segi akademik.
“Dalam zaman milenial ini, kanak-kanak didapati telah dieksploitasi dengan gajet dan dunia maya sehingga menjadikan bidang sukan sebenar mula diganti dengan E-sukan.
“Aktiviti luar khasnya acara sukan sudah mula diabaikan menyebabkan pelapis sukan negara semakin berkurangan sedangkan kita masih memerlukan atlet-atlet untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
“Ia ditambah dengan sikap ibu bapa masa kini yang tidak memandang sukan sebagai sesuatu yang dapat menjamin masa depan anak-anak mereka.
 Oleh itu, bidang pengajian pengurusan sukan ini dirasakan amat bersesuaian dengan masanya,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan Fortis Invistus, iaitu sebuah syarikat yang menjalankan latihan pendidikan dan latihan kemahiran sukan di Malaysia.
Program sukan itu akan dikendalikan oleh SIDMA Sports Academy di bawah naungan dan pengurusan Kolej SIDMA dengan kerjasama Fortis Invistus.
Turut hadir ada majlis itu, Azizah Khalid Merican dan Azlina Ngatimin daripada pengurusan SIDMA; Ketua Operasi Fortis Invistus, Azhar Ismail; wakil Institut Perguruan Gaya, Dr. Sukiman Sukardi; dan Ahli Lembaga Pengarah Sukan Sabah, Aliudin Jumaat.
Dr. Morni berkata, melalui pengajian seperti itu juga, beliau berharap atlet-atlet di Sabah tidak akan berabai dari segi pencapaian akademik ketika mereka cemerlang dalam bidang sukan.
“Kita berharap pengajian ini akan memberi peluang kepada mereka melengkapkan pencapaian diri dengan memiliki diploma dalam pengurusan industri sukan sebagai persediaan selepas bersara sebagai ahli sukan suatu masa nanti.
“Secara tidak langsung, program ini juga membolehkan atlet-atlet menjadikan sukan sebagai karier sepanjang hayat mereka dan tidak sekadar semasa menjadi atlet di lapangan sahaja,” ujar beliau.-Pr/BNN