KENINGAU: Sambutan Hari Malaysia ke-62 di perkarangan Tugu Batu Sumpah Muzium Warisan Keningau, pagi tadi, berlangsung penuh makna apabila ratusan rakyat bersama pemimpin setempat berkumpul menzahirkan semangat patriotisme dan perpaduan.
Antara yang hadir termasuk Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Fred Toyong; dan Timbalan Penyelaras Parlimen P.180 Keningau, Datuk Mohd Ishak Datuk Ayub, selain beberapa pemimpin masyarakat tempatan.
Batu Sumpah Keningau yang berdiri teguh sejak 1964 terus menjadi saksi sejarah pembentukan Malaysia, sekali gus mengingatkan rakyat terhadap janji kerajaan Persekutuan untuk menjaga hak Sabah serta sumpah taat setia rakyat negeri ini kepada negara.
Lebih daripada sekadar monumen, batu sumpah itu menjadi simbol pengikat semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar sentiasa dihormati, dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.-pr/BNN





