PENAMPANG : Prihatin dengan nasib penduduk terjejas banjir, Kumpulan DESA (DESA Group) tampil menyalurkan bantuan kepada lebih 290 mangsa melibatkan 75 keluarga di daerah di sini semalam.

Bantuan berupa 300 bakul makanan, beras serta bekalan air mineral itu diserahkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang semalam untuk diagihkan kepada keluarga mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Pegawai Eksekutif DESA, Emiliana Chin berkata, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan.

“Sebagai sebuah syarikat yang dekat di hati rakyat Sabah, kami amat bersimpati dengan kesukaran dihadapi mangsa banjir.

“Sumbangan ini adalah komitmen kami bagi memastikan mangsa sentiasa mempunyai bekalan makanan mencukupi sepanjang berada di PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu juga sebagai tanda solidariti warga kerja DESA yang sentiasa bersama rakyat, khususnya ketika berdepan musibah.

Beliau berkata, bagi pihak pengurusan, terutama Pengerusi Kumpulan DESA, Tan Sri Liew Yun Fah, tanggungjawab korporat bukan hanya soal perniagaan semata-mata, tetapi menyelami penderitaan rakyat.

“DESA akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan bantuan disalur kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.-pr/BNN