Khairuddin Daud tidak faham struktur PP, keluar kenyataan mengelirukan

0
290
Majuning Dayahan

PITAS:  Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kudat, Encik Khairuddin Daud yang baru menyandang jawatan itu, perlu belajar dan memahani struktur pentadbiran Pertubuhan Peladang (PP) terlebih dahulu, sebelum mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Ketua Unit Kg Kabatansan PPK Pitas, Encik Majuning Dayahan berkata, kenyataan Khairuddin juga jelas menggambarkan beliau tidak faham struktur pentadbiran PP terutama PPK, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan juga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Katanya, kenyataan Khairuddin yang menyokong pelantikan Pegawai Pembangunan Peladang (PPP) Nafas yang kononnya bertujuan menjayakan Reformasi Peladang, amat melucukan dan tidak berasas.

Beliau berkata, kenyataan itu seolah-olah Khairuddin adalah jurucakap rasmi Nafas dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

“Saya ingin bertanya kepada Khairuddin, atas kapasiti apakah beliau bercakap bagi pihak Nafas, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan MOA, dengan membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap pentadbiran Kerajaan yang lalu dan juga Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PP”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majuning yang terkilan dengan kenyataan Khairuddin itu berkata, sepatutnya Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi Nafas yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakan mereka melantik PPP Nafas di negeri-negeri dan bukannya Kairuddin selaku Pengerusi PPK.

Katanya, beberapa PPK di Sabah telah mempertikai pelantikan PPP Nafas kerana ia menyebabkan Nafas terpaksa menanggung gaji mereka, selain itu mereka yang dilantik ke jawatan lantikan politik itu ialah ahli Parti Amanah.

Katanya, tuduhan Khairuddin bahawa semasa era Kerajaan yang lalu, PP menjadi lubuk segelintir pihak memperoleh habuan dan mengaut kekayakan, sehingga menyebabkan ketirisan yang ketara dalam pentadbiran Pertubuhan Peladang, adalah tuduhan yang tidak berasas.

“Sekiranya tuduhan itu betul, sudah pasti Kerajaan hari ini telah melaporkan pihak yang terlibat dalam salah laku itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan.

“Tambahan pula LPP merupakan pendaftar bagi PP dan kebanyakan kakitangan di PPK adalah pegawai LPP yang dipinjamkan ke PP.

“Justeru tuduhan Kairuddin mengenai ketirisan yang berlaku, bererti beliau menuduh pegawai dan kakitangan LPP  termasuk yang dipinjamkan ke PPK telah menyebabkan semua itu berlaku? “, tegasnya.

Majuning berkata,  Khairuddin mungkin lupa bahawa Ketua Pengarah LPP ialah Pendaftar bagi Pertubuhan Peladang (PP) dan bertanggungjawab untuk mendaftar, menyelia dan mengawal  semua semua aktiviti PP termasuk pengauditan dan mengawal akaun semua PP, walaupun LPP atau pun Kerajaan bukan pemegang saham PP.

Mengenai tuduhan bahawa kesan ketirisan dalam pentadbiran PP menyebabkan nasib para petani, peladang dan nelayan tidak berubah sejak dahulu juga tidak tepat dan sengaja direka-reka oleh Khairuddin.

“Sebenarnya beliau sendiri tidak dapat terima hakikat bahawa nasib petani, peladang dan nelayan telah jauh berubah semasa kerajaan dahulu dengan pelbagai bantuan diberikan bagi membela nasib mereka, berbanding kerajaan hari ini dibawah Menteri MOA, Dato Salahuddin Ayub menyaksikan banyak bantuan dikurangkan atau dihentikan.

“Mengambil contoh ahli peladang, sekiranya nasib mereka tidak berubah, masakan mereka mampu membeli saham dan menjadi ahli di unit dan PPK, selain membeli jentera dan peralatan ladang yang diperlukan. Semua ini adalah hasil transformasi pertanian yang dilakukan Kerajaan dahulu”, tambahnya.

Majuning berkata  tidak salah Menteri MOA mahu melaksanakan agenda reformasi peladang, tetapi bukan dengan cara melantik ahli-ahli Parti Amanah  sebagai AJP lantikan Menteri di PP dan juga jawatan lantikan politik di Nafas kerana PP dan Nafas yang akan menanggung elaun AJP PP dan pegawai PPP.

“Kerajaan, MOA atau LPP tidak memiliki apa-apa saham dalam PP dan Nafas, justeru jangan gunakan PP dan Nafas untuk kepentingan politik parti Amanah kerana ini akan menimbulkan kemarahan dikalanga  ahli-ahli peladang seluruh negara”, tegasnya.-pr/BNN