Kenyataan Khairuddin Daud mengelirukan-Jailin

0
202
Jailin Nazrin

RANAU:  Ketua Unit Lipasi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu, Encik  Jailin Nazrin hari ini membidas Pengerusi PPK Kudat, Encik Khairuddin Daud kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Katanya, pelantikan  Pegawai Pembangunan Peladang (PPP)  Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di setiap negeri tidak akan menjayakan Reformasi Peladang, sebaliknya membebankan kewangan Nafas.

Beliau berkata, dakwaan  Khairuddin bahawa pelantikan PPP merupakan “structural reform” yang dibuat oleh Nafas, sebenarnya merupakan rekotik semata-mata.

Menurutnya, pelantikan PPP itu lebih kepada untuk mengisi jawatan lantikan politik oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang diberikan kepada ahli-ahli parti Amanah.

“Apa jaminan  ‘structural reform’  tersebut merupakan langkah terbaik bagi memastikan pentadbiran PP telus dan tidak tiris, serta peruntukan benar-benar sampai ke golongan sasar?

“Khairuddin sepatutnya sedar bahawa bagi memastikan pentadbiran PP telus dan tidak tiris, ia sepatutnya bermula dari peringkat MOA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Nafas itu sendiri.

“Sekiranya pemimpin di ketiga-tiga entiti itu tidak telus dan melaksanakan dasar yang hanya untuk kepentingan diri dan parti politik tertentu semata-mata, apa juga “structural reform” yang dilakukan, hanya sia-sia sahaja.

“Mengambil contoh pewartawan Peraturan-Peraturan PP (Pindaan) 2019 yang telah membelakangkan kepentingan ahli-ahli peladang, sebagai bukti jelas satu dasar dan tindakan yang tidak telus dan tiris”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jailin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Khairuddin yang menyokong pelantikan PPP bagi jayakan Reformasi Peladang.

“Dakwaan Khairuddin mengenai tiada tenaga kerja yang kompeten, jujur dan amanah dalam memastikan peruntukan kerajaan disalurkan dengan betul, sama ada beliau maksudkan ialah LPP, Nafas atau Jabatan Kerajaan lain?

“Ini kerana selama ini sebarang peruntukan pembangunan daripada Kerajaan bagi membantu ahli-ahli peladang akan disalurkan kepada LPP dan kemudian kepada LPP Negeri atau dari MOA  terus ke Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri yang terlibat  dan bertanggungjawab dalam sektor pertanian. Tidak ada peruntukan kerajaan atau MOA ke PP ( NAFAS, PPN Atau PPK kerana PP adalah persatuan atau koperasi) bukan badan kerajaan.

“Peruntukan MOA bagi membantu  ahli-ahli peladang di peringkat PPK atau Unit Peladang adalah dikawal dan diselia oleh LPP Negeri selaku pendaftar PP.

“Khairuddin mungkin lupa bahawa LPP sebagai pendaftar juga  bertanggungjawab untuk mendaftar, menyelia dan mengawal  semua aktiviti PP termasuk pengauditan dan mengawal akaun semua PP.

“Sekiranya dakwaan bahawa terdapat dana tidak diurus dengan baik, tidak sampai atau tidak dapat memberi maafaat hingga ke akar umbi iaitu sekecil-kecil unit peladang di setiap PP, ini bererti kelemahan, ketirisan dan kepincangan telah berlaku di peringkat LPP atau MOA.

“Perlu diingat, bukan PPN, PPK  atau Unit Peladang yang mengawal peruntukan daripada Kerajaan dan MOA bagi membantu ahli-ahli peladang. MOA dan LPP sendiri yang bertanggungjawab, mengurus dan membelanjakan bajet tahunan yang telah diperuntukkan”, tegasnya.

Jailin yakin, yang Khairuddin maksudkan dan salahkan ialah kesilapan dalam struktur pengurusan di LPP atau MOA sehingga menyebabkan peruntukan tidak sampai ke bawah.

Beliau turut mempertikai  PPP yang dilantik dikalangan ahli-ahli Parti Amanah oleh Nafas adalah tenaga kerja yang kompeten, jujur dan amanah?-pr/BNN