Maritim menahan pam bot dengan ikan bom

0
126
Boat berkenaan-Pix APMM
Ikan bom terbabit-Pix APMM
KOTA KINABALU:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu (DM15) telah menahan sebuah pam bot berwarna biru/putih tiada nombor pendaftaran yang disyaki memiliki ikan yang ditangkap dengan cara bom di perairan  Pulau Mengalum, semalam.
Pengarah Maritim Daerah 15 Kota Kinabalu Laksamana Pertama Adam bin Hj Aziz berkata, Bot Peronda Maritim yang sedang melaksanakan OP Sejahtera di sekitar perairan Pulau Gaya telah menerima aduan awam mengenai sebuah pam bot yang disyaki melakukan aktiviti pengeboman ikan telah memasuki kawasan Perairan Pulau Mengalum.
Setelah itu, Bot Peronda Maritim telah bergerak ke lokasi dan mengesan serta menahan sebuah pam bot yang dalam keadaan mencurigakan pada jam lebih kurang 4.00 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua orang kru lingkungan umur 20 hingga 35 tahun berada diatas pam bot tersebut dan gagal mempamerkan  pengenalan diri yang sah.
Pam bot itu juga tidak memiliki lesen dan memiliki anggaran ikan sebanyak 70kg yang disyaki ditangkap dengan cara pengeboman ikan. Kedua-dua kru dan pam bot tersebut ditahan  dan diiringi masuk ke Pulau Mengalum untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan denda sebanyak RM20,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,katanya lagi.
“Kes ini juga akan disiasat di bawah seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga bertanggungan kepada sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan.”
Tambahnya lagi, Sejak OP API 1 dilaksanakan pada 22.3.2018 sehingga kini, statistik menunjukkan enam (6) tangkapan pam bot yang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan kaedah bom telah berjaya di tahan dan Maritim Malaysia memandang serius terhadap aktiviti pengeboman ikan.
Aktiviti pengeboman ikan ini adalah salah di sisi undang – undang dan tindakan tegas akan di ambil terhadap mana mana individu yang didapati terlibat dalam aktiviti ini.-pr/BNN