KENINGAU : Lima tahun lalu, rakyat Liawan memberi mandat kepada Datuk Annuar Ayub Aman dengan harapan membawa perubahan dan kesejahteraan kepada kawasan itu.

Kini, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, rekod kepimpinannya menjadi bukti kukuh mengapa beliau dilihat berada pada kedudukan selesa untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan.

Walaupun pertandingan dijangka sengit dengan lebih ramai calon mencuba nasib, senario undi pecah dipercayai bakal memberi kelebihan kepada penyandang yang memiliki rekod khidmat jelas dan nyata.

Sejak 2020, Annuar menumpukan sepenuh perhatian kepada rakyat dengan pendekatan turun padang menyentuh pelbagai lapisan masyarakat:

Belia – Menyalurkan bantuan lanjutan pengajian dan menggerakkan Wirmuda Star Liawan sebagai platform pembangunan anak muda.

Kebajikan Sosial – Menyediakan bantuan khairat kematian dan sumbangan kepada warga emas kurang bernasib baik, tanda keprihatinan yang dirasai langsung oleh rakyat.

Wanita & Keluarga – Melalui Wiranita Liawan, program sokongan ekonomi dan sosial diperkenalkan, memberi kesan besar kepada kesejahteraan keluarga.

Ekonomi Desa & Pertanian – Membuka dan menaik taraf jalan pertanian, memudahkan hasil dusun dipasarkan serta meningkatkan ekonomi kampung.

Tindakan Pantas – Sentiasa hadir tanpa protokol ketika banjir, tanah runtuh dan musibah lain, memberikan bantuan segera.

“Rakyat Liawan sudah melihat hasil kerja lima tahun. Mereka tidak menilai janji, mereka menilai bukti,” kata seorang ketua masyarakat tempatan.

Selain kerja lapangan, Annuar dikenali lantang dan berwibawa di Dewan Undangan Negeri (DUN), sering mengutarakan pandangan, saranan dan permohonan bagi kepentingan rakyat Liawan.

Hubungan baik beliau dengan pegawai kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kementerian serta sektor swasta turut memudahkan urusan rakyat disegerakan.

“Beliau bukan sekadar pandai berhujah, tetapi tahu menghubungkan Liawan dengan kementerian untuk memastikan suara rakyat sampai ke peringkat lebih tinggi,” ujar seorang pemerhati politik.

Dalam landskap politik Sabah, undi pecah sering memberi kelebihan kepada penyandang. Di Liawan, jentera mantap, rangkaian akar umbi kukuh serta rekod lima tahun yang nyata meletakkan Annuar pada kedudukan lebih selesa berbanding pencabar lain.

“Dengan banyak calon, undi akan berpecah. Tetapi penyandang yang mempunyai rekod jelas biasanya akan kekal. Annuar berada pada posisi ini,” jelas seorang penganalisis tempatan.

Akhirnya, PRN17 menjadi pentas rakyat Liawan membuat penilaian terakhir – sama ada memilih untuk bereksperimen dengan janji baharu atau mengekalkan pemimpin yang sudah terbukti membawa hasil nyata.

Bagi ramai pemerhati, jawapannya semakin jelas. Lima tahun bukti, Annuar kekal kukuh di Liawan.-pr/BNN