KENINGAU : Suasana meriah dan penuh semangat kekitaan mewarnai penganjuran Malaysia Day Activity Pertandingan Sukan Rakyat di Kampung Rantai, Apin-Apin, semalam.
Program itu digerakkan oleh Komuniti Pelancongan dan Tagal Kampung Rantai dengan kerjasama Persatuan Pelancongan & Kebudayaan Keningau (KeTCA).
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi KeTCA, Rafie Robert, yang menegaskan bahawa inisiatif seumpama ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuh semangat perpaduan dan kerjasama antara komuniti dengan persatuan.
“Usaha seperti ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi landasan penting dalam mempromosikan produk pelancongan komuniti di Keningau, seiring dengan hasrat memperkukuh sektor pelancongan berasaskan masyarakat,” katanya.
Pelbagai aktiviti sukan rakyat seperti tarik tali, boling kelapa dan larian guni dipertandingkan, sekali gus menghidupkan kembali tradisi lama yang dekat dengan masyarakat luar bandar.
Penyertaan aktif penduduk memberi peluang kepada semua lapisan generasi bergembira sambil mengekalkan warisan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung, peserta serta rakan kerjasama yang menjayakan program tersebut.
Sokongan padu masyarakat membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan nilai Hari Malaysia terus subur di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, KeTCA menyeru orang ramai agar terus menyokong program pelancongan komuniti di daerah ini kerana usaha berkenaan bukan sahaja menjana manfaat ekonomi kepada penduduk setempat, malah membantu memelihara budaya, alam sekitar dan identiti masyarakat untuk diwarisi generasi akan datang.-pr/BNN





