KENINGAU: Pergerakan Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Bahagian Bingkor menegaskan pendirian teguh untuk terus memberikan sokongan penuh kepada Ketua Bahagian, Datuk Robert Tawik @ Nordin, agar kekal sebagai calon Parti STARSABAH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ketua Wiramuda Bahagian Bingkor, Florian @ Jai Ilon, berkata kesepakatan itu dizahirkan melalui Mesyuarat dan Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Bingkor, yang menyaksikan Wiramuda di semua PDM sebulat suara mahu Robert terus diberi kepercayaan memimpin kawasan tersebut.

“Ketetapan ini dibuat berdasarkan kepimpinan beliau yang konsisten membela rakyat Bingkor serta kerja-kerja pembangunan yang telah beliau bawa ke setiap kampung.

“Robert juga seorang pemimpin yang disenangi kerana mudah ditemui, mesra dengan penduduk, dan sentiasa turun padang menghulur bantuan tanpa mengira masa, cuaca mahupun keadaan,” katanya.

Florian menegaskan, suara Wiramuda adalah mesej jelas kepada kepimpinan STARSABAH, khususnya Presiden STARSABAH merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, bahawa rakyat Bingkor masih memerlukan Robert sebagai calon utama parti di DUN Bingkor.

Beliau yakin kepimpinan tertinggi parti akan mendengar suara akar umbi yang mahu melihat kesinambungan khidmat Robert demi kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

“Pergerakan Wiramuda STARSABAH Bingkor menyeru seluruh jentera dan rakyat untuk terus bersatu hati mempertahankan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Bingkor, demi memastikan suara rakyat terus diperjuangkan serta pembangunan di kawasan ini dapat diteruskan,” katanya.-pr/BNN