KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir dan tanah runtuh yang meragut nyawa serta mengakibatkan kerosakan di beberapa daerah di negeri ini.
Dalam kenyataan media, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah menzahirkan doa agar semua keluarga yang terkesan diberi ketabahan menghadapi ujian tersebut.
“KEADILAN Sabah amat berdukacita atas kehilangan nyawa dan kerosakan akibat bencana ini. Salam takziah kepada ahli keluarga yang terkesan dan semoga diberi kekuatan menghadapi dugaan,” kata kenyataan itu.
MPN turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, pasukan bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat, petugas kesihatan serta sukarelawan komuniti yang bertungkus-lumus melaksanakan operasi menyelamat, pemindahan dan penyaluran bantuan.
KEADILAN Sabah juga menyambut baik pengumuman segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai peruntukan tambahan RM10 juta melalui NADMA bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.
Jumlah itu adalah tambahan kepada kira-kira RM11 juta yang telah disalurkan menerusi Kerajaan Negeri untuk tujuan pembaikan kemudahan asas serta bantuan kepada mangsa.
“KEADILAN Sabah menyeru agar agihan bantuan ini dilakukan secara telus, pantas dan berpandukan keperluan sebenar di lapangan,” tegas kenyataan itu.
Sejak bencana melanda, KEADILAN Sabah turut mengarahkan setiap cabang parti di seluruh negeri supaya menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan agar bantuan sampai kepada mangsa yang benar-benar memerlukan.
Dalam masa sama, KEADILAN Sabah menggesa seluruh rakyat negeri ini agar mengetepikan perbezaan politik demi mengutamakan kemanusiaan.
“Empati dan perpaduan rakyat adalah agenda utama agar Sabah segera bangkit dan pulih semula,” menurut kenyataan itu.-pr/BNN





