KENINGAU: Bengkel Membatik sempena sambutan Hari Malaysia berjaya dianjurkan di The Duo menerusi program Malaysia Day Activity with Community Based Tourism (CoBT) dengan penglibatan komuniti setempat.

Program anjuran The Duo dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) itu memberi peluang kepada peserta merasai sendiri pengalaman menghasilkan batik bersama tenaga pengajar berpengalaman dari Pusat Kraftangan Sabah, Keningau.

Majlis perasmian bengkel disempurnakan oleh Pengerusi KeTCA, Rafie Robert, yang menyifatkan usaha berkenaan sebagai langkah penting memartabatkan seni warisan tempatan selain memperkukuh hubungan komuniti.

Turut hadir, Pengurus The Duo, Kennedy John; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Keningau, Hj. Mohd Zaki Zakaria; barisan tenaga pengajar dari Pusat Kraftangan Sabah serta peserta yang terdiri daripada komuniti sekitar Mukim Apin-Apin.

Menurut penganjur, bengkel berkenaan bukan sekadar memperkenalkan seni batik, malah berfungsi sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat melalui penghayatan seni dan budaya tempatan.

Selain itu, program ini juga diyakini mampu merangsang pertumbuhan pelancongan berasaskan komuniti di Keningau, sekali gus mempromosikan produk tempatan yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih luas.-pr/BNN