KENINGAU: Suasana di Bandukan Eko-Park bertambah meriah apabila Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak berjaya menarik penyertaan ramai sempena sambutan Hari Malaysia.
Acara yang dianjurkan Bandukan Eko-Park dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) itu merupakan sebahagian daripada siri Malaysia Day Activity with Community Based Tourism (CoBT) yang memberi peluang kepada generasi muda menonjolkan kreativiti mereka.
Pertandingan berkenaan mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa dan anak-anak, sekali gus menyerikan suasana sambutan Hari Malaysia dengan penuh warna-warni.
Selain mengasah bakat seni kanak-kanak, program itu turut menyerlahkan potensi Bandukan Eko-Park sebagai destinasi riadah berasaskan alam semula jadi yang sesuai untuk kunjungan masyarakat tempatan mahupun pelancong luar daerah.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi KeTCA, Encik Rafie Robert. Turut hadir ialah Pengurus Bandukan Eko-Park, Encik Johany Anil; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Keningau, YBhg. Haji Mohd Zaki Zakaria; serta wakil komuniti setempat yang sentiasa menyokong penganjuran program seumpama ini.
Menurut Rafie, pertandingan itu bukan sahaja memberi ruang kepada kanak-kanak mengekspresikan bakat seni mereka, malah menyemarakkan semangat patriotisme melalui aktiviti yang santai dan bermanfaat.
“Kami mahu melahirkan generasi muda yang kreatif, berkeyakinan dan mempunyai rasa bangga terhadap jati diri sebagai rakyat Malaysia. Program seperti ini menggabungkan elemen hiburan, pendidikan dan patriotisme dalam suasana kekeluargaan,” katanya.
Pertandingan Mewarna ini turut menjadi penutup tirai bagi siri program Malaysia Day with CoBT 2025.
Bagaimanapun, KeTCA menegaskan komitmen untuk terus menganjurkan pelbagai program pembangunan pelancongan pada masa akan datang bagi memperkasa sektor pelancongan di Keningau.pr/BNN





