Isu KP LPP-Hamzah, PPN Labuan, Sarawak sokong kenyataan Nazri

0
Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad
LABUAN: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Wilayah Persekutuan Labuan dan PPN Sarawak menyokong kenyataan Pengerusi PPN Sabah, Dato Mohd. Nazri Abdullah berhubung dakwaannya terhadap Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Haji Hamzah Bahari.
Pengerusi PPK Labuan, Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad berkata, dakwaan Mohd.Nazri sangat berasas kerana tindak-tanduk Hamzah jelas menjurus kepada memusnahkan masa depan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Katanya, Hamzah selaku pendaftar NAFAS sepatutnya membantu NAFAS terus berkembang maju seperti yang pernah dilakukan oleh mantan-mantan KP LPP yang lain.
Datuk Sylvester Entri Muran
“Beliau bukan sahaja tidak berbuat demikian, sebaliknya bertindak menggantung perlembagaan NAFAS sehingga perniagaannya terjejas”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan.Nazri bahawa NAFAS yang telah mengharungi pelbagai kesusahan untuk dibangunkan, sebaliknya dijangka akan musnah di tangan Hamzah.
Mohd.Nazri berkata, NAFAS yang sahamnya dimilik oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di negara ini telah mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya berada pada tahap sekarang.
Katanya, bermula daripada KP LPP pertama hingga ke 11 iaitu dari Tun Ahmad Sarji (21 Feb 1973) hingga ke Dato Haji Salim Taha (22 Mac 2017) semuanya turut membangunkan NAFAS sehingga menempah nama besar di tanah air Malaysia.
“Tetapi Hamzah yang dilantik memegang jawatan itu bermula dari 22 Mac 2017 sehingga akan bersara wajib pada 3 Mac 2019.  Hanya selama dua tahun sahaja menjadi KP LPP, beliau telah memusnahkan NAFAS dengan menggantung perlembagaannya. Jasanya yang tidak akan dilupakan oleh ahli-ahli peladang seluruh negara hingga ke akhirat”, tegasnya.
“Biasanya sesuatu institusi akan digantung perlembagaannya apabila ia mengalami  kerugian. Tetapi KP LPP menggantung Perlembagaan NAFAS dalam keadaan NAFAS meningkat untung setiap tahun.
“Apa muslihat Hamzah mahu musnahkan NAFAS ? Kenapa beliau tidak fikir nasib 14 PPN selaku pemegang saham NAFAS. 276 PPK dan hampir satu juta ahli perseorangan PP yang mendokong NAFAS” tegas Mohd Nazri.
Sementara itu, Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Mohd.Nazri berhubung tindakan Hamzah yang bakal menghancurkan NAFAS.
“Beliau sepatutnya mencontohi mantan-mantan KP LPP yang terdahulu dalam membantu NAFAS terus maju demi kepentingan ahli-ahli peladang seluruh negara.
“Apa yang berlalu sekarang adalah sebaliknya. Apa motif sebenar Hamzah berbuat demikian. Kenapa beliau sanggup melihat NAFAS hancur”, katanya dalam satu kenyataan.
Sylvester berkata, tindakan Hamzah telah membelakangkan kepentingan dan kebajikan ahli-ahli peladang seluruh negara.
Beliau berkata, Hamzah dan Timbalannya, Puan Azulita Salim merupakan individu yang bertanggungjawab menyebabkan subsidi kepada petani dikurangkan bermula tahun ini.
“Pada tahun 2018 Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Penasihat Kerajaan agar subsidi untuk petani dikurangkan dan ianya telah dilaksanakan bermula tahun ini”, katanya.
PPN Sarawak dan Labuan juga membantah sekiranya Hamzah yang akan bersara wajib pada Mac 2019 disambung perkhidmatannya.
NAFAS bergerak sendiri dengan menggunakan duit pemegang saham,  tanpa mendapat peruntukan dana oleh kerajaan.
NAFAS dan LPP adalah dua buah entiti yang berbeza. NAFAS tidak bertuankan LPP kerana LPP hanya sebagai pendaftar Pertubuhan Peladang dan bukan pemegang saham NAFAS.-pr/BNN