BINGKOR: Encik Garret Patrick secara rasmi menerima pelantikan sebagai Ketua Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Wakil Rakyat N40 Bingkor, hari ini.

Watikah pelantikan itu diserahkan oleh Puan Diana Basir yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik.

Sekretariat BMBR ditubuhkan bagi menyelia pelaksanaan semua program pembangunan di bawah kerangka Hala Tuju BMBR, yang menjadi tonggak pentadbiran DUN Bingkor sejak lima tahun lalu.

Kini, sekretariat berkenaan diberi amanah untuk meneruskan pelaksanaan Hala Tuju BMBR 2.0 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dengan adanya sekretariat ini, pelaksanaan program akan digerakkan secara lebih sistematik melalui penglibatan sukarelawan dan komuniti setempat, sekali gus memastikan setiap perancangan berjalan lancar.

Garret ketika ditemui berkata, beliau akan terus komited membantu wakil rakyat dalam menjayakan segala agenda pembangunan rakyat Bingkor di bawah Hala Tuju BMBR 2.0.-pr/BNN