KENINGAU: Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, sekali lagi dizahirkan melalui siri penyerahan sumbangan pendidikan dan kebajikan kepada penduduk di kawasan ini, sebagai dorongan dan sokongan moral untuk mereka terus melangkah ke hadapan.

Dalam inisiatif terbaru, Annuar menyampaikan bantuan kepada dua beradik, Nazatul Fazila Saparuddin dan Nazatul Fadila Saparuddin, menerusi Pemaju Masyarakat, Hairul Ahmad Syam, bagi meringankan persiapan mereka menjejakkan kaki ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Nazatul Fazila diterima masuk ke Program Ijazah Sarjana Muda Hubungan Industri Dengan Kepujian, manakala adiknya, Nazatul Fadila, ditawarkan ke UMS Antarabangsa Labuan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Antarabangsa Dengan Kepujian.

Selain itu, Annuar turut menyalurkan sumbangan pendidikan kepada Beverley Unkos yang bakal melanjutkan pengajian Sarjana Muda Tari di Universiti Malaya serta Clarisa Jelius yang akan mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) Dengan Kepujian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Sokongan ini memberi motivasi tambahan untuk berusaha lebih gigih. Saya amat tersentuh dengan perhatian yang diberikan,” kata Clarisa, meluahkan penghargaan atas keprihatinan wakil rakyatnya.

Tidak hanya menumpukan kepada aspek pendidikan, Annuar juga menyalurkan sumbangan perubatan bagi membantu meringankan kos rawatan Natir Banat yang kini berdepan masalah kesihatan.

Bantuan berkenaan disampaikan oleh Pembantu Operasi Pejabat UPPM Liawan, Mohamad Raihan Jinode, dan diterima oleh Ebin Momin mewakili keluarga pesakit.

Bagi Annuar, kepimpinan yang sebenar tidak diukur pada janji atau angka, tetapi pada kesungguhan hadir di sisi rakyat ketika diperlukan.

“Keprihatinan mesti diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata. Setiap anak muda yang melangkah ke menara gading adalah aset masa depan Liawan, dan setiap keluarga yang diuji kesihatan pula perlu dibantu agar tidak merasa dipinggirkan,” katanya.

Siri penyerahan sumbangan ini sekali lagi menegaskan komitmen berterusan beliau untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, di samping membuka ruang pendidikan yang lebih luas buat generasi muda Liawan.-pr/BNN