KENINGAU: Keprihatinan terhadap keperluan masyarakat terus dizahirkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, apabila beliau menyumbangkan 100 buah kerusi plastik kepada Komuniti Umat Katolik (KUK) St. Markus, Kampung Baru, Bingkor.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN N.40 Bingkor, Junior Fred Vincent Marukau yang mewakili Robert, dan diterima oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Francis Lintau.

Francis, bagi pihak KUK St. Markus, menzahirkan penghargaan kepada Robert atas sumbangan berkenaan yang disifatkan sebagai sangat membantu dalam melancarkan pelbagai program komuniti dan aktiviti kerohanian.

Menurut Francis, kemudahan itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada jemaat tetapi juga menyokong usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat kampung.

Sementara itu, Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri berkata, pemberian tersebut adalah sebahagian daripada komitmennya untuk memastikan rakyat di peringkat akar umbi menerima sokongan dan kemudahan sewajarnya.

“Saya berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada komuniti KUK St. Markus dalam menjayakan aktiviti kerohanian dan sosial. Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat rakyat Bingkor, tanpa mengira latar belakang, mendapat sokongan yang adil dan berterusan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa berganding bahu dengan kepimpinan DUN Bingkor dalam usaha memajukan komuniti setempat.

Sumbangan seumpama ini, katanya, menjadi jambatan hati antara pemimpin dan rakyat, sekali gus memperkukuh kebersamaan sebagai kunci kemajuan Bingkor.-pr/BNN