Pemimpin PKR perlu berhenti desak Tun M berundur awal-Jerry

0
142
Brig.Jen (K) Dato Jerry Ambuting Haji Mohd.Said

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berhenti daripada terus mendesak Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad berundur atau melepaskan jawatannya lebih awal, kata seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Brig.Jen (K) Dato Jerry Ambuting Haji Mohd.Said berkata, desakan demi desakan yang telah dibuat oleh beberapa orang pemimpin PKR terutama Ahli-ahli Parlimennya, seperti diarah oleh kepimpinan PKR.

“Sepatutnya pemimpin PKR bertindakan lebih matang, rational dan bertanggungjawab, dan bukan mengeluarkan kenyataan yang terus mendesak agar Tun Mahathir meletak jawatan dan berundur lebih awal.

“Sedangkan Tun Mahathir telah banyak kali mengulangi jaminan beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepimimpinan negara kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan oleh pihak media berkata, beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepemimpinan negara kepada Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada Anwar sudah bersedia untuk memikul jawatan itu, Dr Mahathir berkata: “Ia bukan soal sama ada beliau sudah bersedia atau tidak. Saya sudah berjanji, dan saya akan berpegang teguh kepada janji saya”.

Jerry yang juga Ketua Perhubungan Awam (Sabah) kepada Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abd.Rahman berkata, tindakan dan desakan yang telah dilakukan oleh Ahli-Ahli Parlimen dan pemimpin PKR jelas kelihatan seperti mereka ‘terdesak’ dan kepinginkan jawatan Perdana Menteri (PM).

Jerry turut  menyokong pendapat  Ahli Majlis Tertinggi PPBM yang meminta Ahli Parlimen PKR Hassan Karim bersabar berhubung gesaannya supaya Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai kerana gagal menangani isu kaum, agama dan raja

Di bawah perjanjian Pakatan Harapan (PH), Mahathir sepatutnya menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, walaupun tidak ada kerangka masa bagi tujuan itu.

Tariq Ismail berkata permintaan Mahathir memberi laluan kepada Anwar pada masa ini adalah tindakan “pramatang”.

“Kami memerlukan pejuang seperti Tun untuk menerajui negara ini dan memulihkan kembali ekonomi”, katanya.

“Apa yang akan berlaku jika Anwar mengambil alih kuasa sekarang dan masalah lama berterusan? Saya yakin Anwar mahukan ekonomi yang lancar supaya dia boleh menumpukan perhatian kepada pentadbiran berbanding politik,” katanya kepada portal berita FMT, hari ini.

Tariq menambah isu kaum dan agama hanya timbul jika ekonomi diabaikan.

Beliau menggesa menteri dan ahli Parlimen memberi tumpuan kepada tugas masing-masing, sambil mengatakan politik harus dikhaskan untuk kempen pilihan raya.

“Hassan memerlukan pil penenang. Bersabarlah dan bantu PM kita mengemudi kapal, jangan memimpin kapal tanpa kemudi dengan pemberontak”, tegas Tariq.

Jerry berkata, adalah tidak berasas bagi pemimpin PKR meminta Tun Dr. Mahathir meletak jawatan dengan segera.

“Ini kerana tugas Tun Dr. Mahathir sekarang begitu mencabar dan penting bagi meletakkan Malaysia pada landasan yang betul, selain menyelesaikan masalah-masalah yang diwarisi daripada kerajaan sebelum ini”, tegasnya.

Katanya, pemimpin PKR dan rakyat tidak perlu bimbang dengan komitmen pelan peralihan jawatan Perdana Menteri itu.

“Yang penting dan harus menjadi fokus pemimpin PKR, PH dan rakyat ialah bersama-sama Tun Dr. Mahathir memulihkan negara yang kini berhadapan dengan pelbagai isu yang melibatkan bangsa, agama dan ekonomi rakyat”, tegasnya.-pr/BNN