Hari Gawai Dayak, Kaamatan turut disambut di Semenanjung Malaysia

0
321
Hajiji (enam dari kanan) bersama Kannan Ramasamy (lima dari kanan), Mohd.Arifin (dua dari kiri), Isnin (tiga dari kanan), Matbali (empat dari kiri), Devendran Karpudewir (empat dari kanan) dan jemputan lain di majlis penutupan itu

PETALING JAYA:  Hari Gawai Dayak dan Hari Kaamatan yang disambut secara besar-besaran di  Sarawak dan Sabah setiap tahun, kini turut disambut oleh anak-anak Borneo di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kedua-dua perayaan itu disambut oleh masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak sebagai menandakan berakhirnya musim menuai.

Katanya,  Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak begitu penting dan significant kepada masyarakat pribumi di kedua-dua negeri itu, kerana ianya adalah  budaya tradisi yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang.

“Kini sambutan Hari Gawai Dayak dan Kaamatan turut diraikan oleh anak-anak Borneo di Semenanjung khususnya di kawasan Selangor yang ramai rakyat Sabah dan Sarawak bekerja dan bermastautin”, katanya ketika merasmikan penutupan sambutan Hari Gawai Dayak dan Kaamatan 2019 di Dewan D’ Kelana, Petaling Jaya, semalam.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Parti Tindakan Hak Minoriti (Minority Rights Action Party) (Mira) dan Persatuan Anak Borneo Semenanjung (PABS), dengan tema sambutan “Perpaduan Dalam Kepelbagaian”.

Turut hadir di majlis itu ialah Bendahari BERSATU Sabah, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, ADUN Klias, Datuk Isnin Haji Aliasnih, ADUN Lumadan, Encik Matbali Musah, Setiausaha Agung Parti Mira, Encik Kannan Ramasamy, Presiden PABS, Puan Rosalind Khamis, Pengerusi Parti Mira Sabah, Encik Devendran Karpudewir, Pengerusi sambutan, Encik Serit Banyan dan Presiden-Presiden NGO Borneo di Semenanjung.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak juga diiktiraf dan dikenali di luar negara menerusi kumpulan tarian, persatuan seni budaya dan pertubuhan bukan kerajaan yang mengadakan persembahan mereka di luar  negara.

“Gawai Dayak dan Kaamatan telah diinternational kan kerana menerusi sambutan perayaan tersebut, ianya telah dapat merapat dan mengeratkan lagi hubungan antara kaum yang sedia terjalin dikalangan pelbagai suku kaum dan bangsa di kawasan Borneo khasnya dan Malaysia amnya.

“Kedua-dua perayaan ini bukan sahaja diraikan sebagai hari kesyukuran bagi masyarakat pribumi khususnya kaum Kadazan,  Dusun, Murut,  Rungus, Lotud,  Dayak dan Iban, malah ia menjadi medium terbaik untuk mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum”, tegasnya.

Katanya, ini kerana kedua-dua perayaan ini menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, sekali gus menepati hasrat memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Justeru katanya, rakyat di Sabah dan Sarawak  harus menjadikan sambutan itu sebagai peristiwa bagi mempamerkan semangat kerjasama pelbagai kaum, untuk terus mengecapi pembangunan dan kemajuan.

“Gawai Dayak  dan Kaamatan adalah perayaan yang mengangkat identiti masyarakat pribumi di Borneo,  dan ia amat penting untuk kita meraikan perpaduan yang menjadi teras ke arah usaha kita mencapai kemajuan berterusan”, tegasnya.

Hajiji turut mengingatkan anak-anak Borneo di Semenanjung Malaysia, agar sentiasa menjaga nama baik Sabah dan Sarawak, dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang, selain menghormati dam menjaga sensitiviti kaum dan bangsa lain.

Beliau turut memuji inisiatif dan usaha murni Parti MIRA dan PABS, kerana berjaya menganjurkan sambutan Hari Gawai Dayak dan Kaamatan 2019, bagi mengembangkan lagi budaya bangsa penduduk Borneo untuk ditonjolkan kepada rakyat di Semenanjung.-pr/BNN